Airmata Syawal





           Zalfa Aleeya terjaga dari lena. Mata yang sembap akibat menangis semalaman digosok perlahan. Pandangan dikalih ke kiri. Kosong. Hatinya jadi hampa. Semalam dia bertengkar lagi dengan suaminya. Entah di mana silapnya, ada sahaja yang tidak kena sejak mereka pulang ke Malaysia. 

          ‘abang tidur mana semalam. Tak balik rumah ke?’ desis hati Zalfa. Tanpa sedar, airmata kembali bergenang dan menitis ke pipi. Diseka perlahan. Hati jadi sayu mengenangkan rumahtangga mereka yang berantakan. Baru sahaja ingin mengecap bahagia, mereka sudah diuji sebegini. 

           Malas mahu berfikir panjang, Zalfa mengemas katil seadanya dan menapak ke kamar mandi di luar bilik. Baru beberapa langkah, Zalfa berundur. Seakan terlihat sesosok tubuh di atas sofa ruang tamu. Lampu utama dipasang. Hati Zalfa jadi luluh melihat suaminya yang mengeringkut kesejukan. 

         “ Abang… bangun…” Zalfa menggerakkan tubuh suaminya. Airmata yang sudah berhenti mengalir sebentar tadi, kembali laju membasahi pipi. Rasa menyesal pula bertengkar semalam. Jika tidak pasti suaminya tidak akan tidur dalam keadaan begini. 

        “ Hmm…” Afiq Farhan bersuara dengan mata yang masih tertutup. Setitis airmata yang jatuh pada lengan milik Farhan, membuatkan lelaki itu membuka mata. Dahinya berkerut memandang Zalfa yang sedang menangis. Pantas dia bangkit dan merangkul isterinya dalam dakapan. 

       “ Kenapa ni sayang, sakit ke?” soal Farhan kerisauan. Zalfa hanya menggeleng dan terus-terusan menangis sayu dalam dakapan suaminya. Bibirnya diketap kuat mengawal tangisan. Farhan menghela nafas perlahan dan hanya membiarkan isterinya melepaskan tangisan dibahunya. 

       “ Kenapa abang tidur luar ni?” soal Zalfa saat tangisannya mulai reda. Farhan menguntum senyum hambar. Rambut lurus isterinya diusap perlahan. 

      “ Sayangkan merajuk dengan abang semalam? Nangis je, pandang abang pun tak nak ” 

     “ Tu bukan alasannya nak tidur luar ni. Bilik atas kan ada?” 

Farhan tersenyum lagi. 

     “ Sayangkan tak sihat. Nanti kalau ada apa-apa , susah hati abang. Baik abang tidur sini, senang nak tengokkan sayang” 

     Zalfa terdiam. Terharu sebenarnya dengan keprihatinan suaminya. Marah bagaimana sekalipun, kebajikan dirinya masih dijaga dengan baik. Zalfa tatap mata Farhan dalam. Kemudian , tangan suaminya disalam dan dikucup lembut. 

     “ Sayang minta maaf. Semalam, tak ada niat pun nak buat abang marah. Sayang terlalu ikutkan kata hati dan perasaan. Maafkan sayang, bang” ucap Zalfa sayu. Airmatanya gugur lagi. Ah, Zalfa benar-benar tewas bila berhadapan dengan Farhan dalam cara begini. Mudah sahaja dia kalah dengan airmata. 

      Farhan tersenyum lagi. Dia mengangguk perlahan dan dahi Zalfa dikucup penuh kasih. Pipi isterinya dielus perlahan. 

      “ Kita lupakan hal tu ya? Abang pun minta maaf, sebab berkeras dengan sayang. Abang janji lepas ni, apapun masalahnya, kita bincang baik-baik. Insya Allah” 

      Zalfa mengangguk perlahan. Airmata yang menitis diseka perlahan. Farhan melirik mata pada jam di dinding. 

      “ Jom, abang tolong sayang. Kita siapkan sahur sama-sama ya?”  ucap Farhan , menarik Zalfa bangkit sama. Zalfa hanya menurut dan mereka beriringan menuju ke dapur.

*********

      Zalfa termenung di sisi jendela kamarnya. Hatinya dipagut resah. Sebentar tadi, dia menerima panggilan dari ibu mertuanya yang mendesak dia dan Farhan memberi kata putus. Di sana ibu, di sini suami. Zalfa tersepit antara keduanya. Bukan dia tidak sayang dengan perkahwinan yang baru menjangkau usia tiga tahun ini, tapi dia sedar, Farhan layak untuk mendapat isteri yang lebih baik dari dirinya sendiri. 

      “ Apapun yang terjadi, abang takkan sesekali turutkan kemahuan mama. Semua ni kerja gila!” Farhan bersuara tegas kala Zalfa menyuarakan hasrat ibu mertuanya malam semalam. 

      Zalfa mengusap bahu suaminya perlahan. Cuba mencari kekuatan untuk berbincang dan memujuk suaminya. 

      “ Abang… sayang bukan tak sayangkan abang. Abang suami sayang, segalanya dalam hati ni. Tapi abang sendiri tahu, mama buat semua ni demi kebaikan kita. Mama inginkan zuriat bang, dan sayang tak mampu untuk berikan itu” ucap Zalfa. Suaranya mulai kendur. Airmata yang gugur diseka perlahan. Mengenangkan kekurangan diri sebagai seorang isteri, membuatkan hati Zalfa luluh. 

Farhan menghela nafas panjang. Rambut yang kusut dikuak ke belakang. 

     “ Abang pun nak anak. Tapi abang boleh tunggu. Biarlah sepuluh tahun sekalipun, abang tak kisah. Tapi tolong jangan paksa abang untuk menikah dengan perempuan lain. Abang tak sanggup nak duakan sayang” 

     Zalfa mengeluh berat. Dia bergerak dari jendela dan duduk di birai katil. Wajahnya muram. Farhan turut sama duduk, dan berhadapan dengan isterinya. Tangan isterinya diusap dan dikecup perlahan. Kemudian , dibawa ke pipi. Digenggam erat. 

     “ Jangan hampakan mama , bang. Kita dah cukup buat dia kecewa selama ni. Abang tak kesian dengan mama ke?”  Zalfa masih mahu memujuk. 

     “ Abang sayangkan Zalfa. Abang dah penat berkongsi kasih. Cukup dengan derita dulu, abang tak mahu episod luka tu berulang lagi” ucap Farhan perlahan. Bukan niat mahu membuka kisah silam,  tapi sekadar mahu isterinya mengerti akan rasa hatinya. 

    “ Mungkin ini bahagian buat sayang. Dah takdir mungkin, hidup sayang perlu berkongsi dan berbahagi. Sekarang sayang faham macam mana kak Sarah rasa, bila dia suruh abang menikah dengan sayang. Sayang dah redha, bang” sekali lagi airmata Zalfa gugur. Farhan mendengus kuat. Serta merta dia bangkit. Entah mengapa amarah mendatang kala ini. Wajah isterinya yang sayu ditatap dalam.

        “ Abang bukan boneka, Zalfa! Sayang tak fikir hati dan perasaan abang.Kenapa sayang pentingkan diri sendiri? Kalau lelaki lain mungkin ya, mereka akan gembira bila disuruh berkahwin lain, tapi bukan abang! Dalam hati abang tak akan ada wanita lain, selain Zalfa, faham?!”  

        Biarpun perlahan , namun nadanya keras menghambat telinga Zalfa. Dia tertunduk. Hatinya terluka dengan kata-kata Farhan. Tidak pernah terlintas di hatinya mengenepikan perasaan suami yang tercinta. Bukan itu niatnya. Zalfa menarik tangannya yang digenggam Farhan. Dia bangkit dan keluar dari kamar. Mengunci diri dalam kamar mandi, dan melepaskan tangisan semahu-mahunya. Keluar sahaja dari kamar mandi, suaminya tidak kelihatan. Zalfa tidak mahu ambil tahu, dia terus masuk ke kamar dan merebahkan diri dengan airmata yang masih setia menemani.

        Zalfa tersentak dari lamunan yang panjang saat mendengar guruh dilangit. Hatinya mengucap perlahan. Tidak sedar , lama sudah dia termenung di sisi jendela.Peristiwa pertengkaran kelmarin, hilang dari lamunan. Zalfa menarik nafas perlahan. Cincin perkahwinan di jari manisnya disentuh. Hatinya kembali dihambat sayu. 

         “ Assalamualaikum” 

         Zalfa tala kepala. Tersenyum dia pada Farhan yang menjengah kepala dibalik pintu kamar. Zalfa mendekati suaminya. Briefcase Farhan disambut, dan tangan suaminya dikucup penuh hormat. 

        “ Bila abang balik? Tak dengar pun bunyi kereta” 

Farhan ketawa kecil. Hidung isterinya dicuit mesra. 

       “ Nak dengar macam mana, kalau princess abang ni berangan” 

Zalfa kerut dahi. Eh, tau-tau je hubby aku ni?

      “ Mana tau ni?” soal Zalfa pelik.  Farhan tersenyum dan memeluk bahu isterinya. 

       “ Kalau dah berdiri tepi tingkap tu, memang port terbaik untuk termenunglah, kan? Abang bukan kenal sayang sehari dua ok?” 

       Zalfa tersengih. Dia berpusing menghadap wajah suaminya. Senyuman diukir dan tangannya merangkul leher Farhan, sementara tangan Farhan melingkari pinggangnya. 

       “ Urm, disebabkan princess abang ni termenung dari tadi, so juadah berbuka belum tersedia. Jadi… prince Farhan sediakan duitlah ye, kita makan luar. Boleh?” 

       Farhan berkerut dahi. Sungguh, dia tidak gemar makan luar. Masakan Zalfa seribu kali lebih sedap dan mengenyangkan perutnya. 

      “ Pleaseeee… sayang janji hari ni je. Teringin nak makan asam pedas claypot. Bolehlah abang” Zalfa sudah mengeluarkan suara manja, sengaja mahu mencairkan hati Farhan. Farhan ketawa kuat dan pipi isterinya dicuit geram. 

     “ Abang tak boleh nak cakap ‘tak’ lah macam ni. Ok, hari ni abang ikut kemahuan sayang. But tomorrow, janji masak makanan kegemaran abang” 

     Zalfa sudah tersengih gembira. Pipi suaminya dikucup lama tanda terima kasih. Farhan membalas dengan mengucup dahi Zalfa.Rangkulan dilerai dan Farhan merebahkan diri di atas katil. 

     “ Makanan kegemaran abang ye? Hurm… I know…” Zalfa seolah sedang berfikir, kemudian dia tersenyum nakal. Kening diangkat memandang suaminya yang menongkat kepala, turut sama memandangnya. 

     “ Abang suka tempe goreng dengan nasi putih kan? Haa, simple!” Zalfa bercanda. Terbeliak mata Farhan mendengarnya. Pinggang Zalfa dicuit geram. 

     “ Main-mainkan abang ea!” Farhan bersuara geram dan tangannya galak mencuit pinggang Zalfa yang sudah ketawa kegelian. 

     “ Abang, tak nak!! Abang!!” Zalfa berteriak kuat, berusaha mengelak serangan demi serangan suaminya, hingga keluar airmata menahan kegelian. Farhan turut sama ketawa bahagia.
       

*************


         " Abang, cepatlah siap. Dah pukul berapa dah ni. Kesian mama , bang" 

Zalfa memandang suaminya yang masih bermalas-malasan di atas katil. Namun Farhan pamer wajah selamba. Matanya masih pada ipad, buat-buat tidak dengar dengan ajakan isterinya. Zalfa mengeluh perlahan. Punggung dilabuh di sisi katil.

          " Abang, tak baik macam ni tau. Mama dah tunggu lama, dari pagi tadi lagi"

Farhan angkat wajah. Tangan Zalfa dielus perlahan.

          " Malaslah yang. Mama mesti ada agenda lain, suruh kita balik rumah dia. Abang masak sangat dengan perangai mama tu"

zalfa kerut kening.

        " Agenda apa pula ni abang. Salah ke mama nak buka puasa dengan anak-anak dia. Sekali sekala. Kita pun dah lama tak balik"

          " Buat apa balik, kalau menyakitkan hati je? Mama tu mesti nak cakap pasal perkahwinan mengarut tu. Letih lah, yang!"

Zalfa senyum hambar. Dia juga sedar akan hal itu. Tapi itu bukan alasannya mahu menghampakan permintaan ibu mertuanya.

           " Abang, utamakan perasaan mama. sedih dia nanti kalau abang tak balik. Lagipun kak Maira pun ada sekali. Nanti apa pula kata dia kalau tak nampak batang hidung kita"

Farhan mengeluh keras. Rambutnya dikuak ke belakang. Lama mata Zalfa ditatap. Kemudian dia menguntum senyum. Isterinya yang seorang ni memang pandai memujuk. Bicara yang lembut itu, mudah sahaja menyejukkan dan menenangkan hati seorang suami.

            " Oklah. Sayang abang ni, selagi abang tak kata ya, selagi tu nak pujuk kan? abang nak mandi dulu" ucap Farhan sambil mencuit geram pipi isterinya sebelum bangkit dan menghilang di sebalik kamar mandi. Zalfa tersenyum lega. Makan pujuk juga suaminya ini. 


**************************



            " Fa, mama nak cakap sikit" 

Mama yang entah bila muncul diruang tamu, menyapa Zalfa. Dia yang sedang bermain dengan anak bongsu kak Maira, terhenti. Dia bangkit dan menghampiri mama. Saat itu hanya mereka berdua dirumah. ahli keluarga yang lain sudah ke masjid untuk tarawikh. 

            " Ada apa , ma?" soal Zalfa dengan senyuman di bibir.

Wanita itu pamer wajah kurang senang. Meluat dengan menantunya yang seorang ini. Baginya, senyuman itu satu kepalsuan. 

            " Kau dah bincang dengan Han tentang permintaan mama tu?" 

Zalfa terdiam. Sudah dijangka soalan itu yang diutarakan. Zalfa mengangguk perlahan. Airmukanya nyata berubah. 

             " mama anggap kau dah setuju. Tinggal nak pujuk Han je kan?" 

Zalfa diam lagi. Tidak berani hendak mengangkat wajah. Nafas dihela perlahan. 

             " Fa dah cuba pujuk abang ma, tapi....

             " Apa yang susah sangatnya? Entah-entah kau memang dah hasut si Han tu supaya jangan ikut cakap aku kan?"  mama mulai berang. Zalfa pantas menggeleng. Sebak hatinya dituduh sebegitu rupa. 

              " Tak ma... Fa....

              " Sudah! Aku tak nak dengar alasan. Kau sedar diri, Zalfa. Layak ke kau nak persoalkan keputusan mama? Sedar diri kau tu perampas! Kau yang rampas kebahagiaan Sarah dengan Farhan. Jadi sekarang, kau tak ada hak nak buka mulut, menentang keputusan mama supaya Han menikah lagi! 

Zalfa tarik nafas perlahan. Menyabarkan hatinya agar tidak tewas dengan airmata dihadapan wanita ini. Wajahnya tetap ditundukkan. 

              " Dari mula lagi mama memang tak pernah setuju bila Sarah kata dia benarkan Farhan kahwin dengan kau. Silap besar kau tahu tak? Konon boleh beri zuriat. Sudahnya, perempuan mandul macam kau diangkut jadi bini!" 

Zalfa mengetap bibir menahan tangis. Namun dia tewas. Airmata hiba menitis jua dihujung baju kurung yang tersarung ditubuhnya. Namun , pantas diseka saat kedengaran kereta milik Farhan masuk ke halaman rumah. 

               " Ingat, kau tak ada hak! Sekali lagi aku bagi peluang pada kau untuk buat Farhan setuju menikah dengan Lysa, kalau tak jangan harap aku akan biarkan rumahtangga kau tenang. Faham!" mama bisik perlahan di telinga Zalfa memberi amaran keras sebelum bangkit dan menghilang di balik dapur. Zalfa mengesat airmatanya laju saat pintu utama terkuak dari luar.

           " Tidur baby ni? Hurm, penat sangatlah tu main dengan auntie Fa ye?"  Kak Maira yang menapak masuk ke dalam rumah mendapatkan anaknya yang sudah tidur pulas. Zalfa sedayanya menguntum senyum. Dia bergerak ke pintu dan mendapatkan suaminya. tangan lelaki itu dikucup penuh hormat. 

              " Jom balik, yang. abang penat dah. Esok nak kerja" ucap Farhan. Matanya juga sudah merah menahan kantuk. Zalfa sekadar mengangguk dan bergerak ke sofa mencapai tas tangan miliknya. 

               " Kak, Fa balik dulu ye. Nanti kirim salam dekat mama. Dia dah tidur tu agaknya" ujar Zalfa sopan. Tangan kak Maira dikucup dan mereka berlaga pipi. Usai, dia dan Farhan masuk ke perut kereta dan pulang ke rumah.   


*******************


                Zalfa buka mata. Tidak lena tidurnya malam ini. Sebenarnya, langsung tidak tidur. Matanya tidak dapat dilelapkan walau sesaat pun. Kata-kata mama tadi terngiang di telinganya, membuatkan hati tidak tenang. Satu keluhan berat dilepaskan. 


Wajah suaminya yang lena disisi dipandang. Dia mengiringkan badan. Perlahan tangannya menyentuh pipi Farhan. Tanpa sedar, matanya terasa panas. Ada airmata yang bergenang. Kebelakangan ini, airmata itu begitu mudah tumpah. 

" Sayang...tak tidur lagi ke?" Farhan bersuara. Zalfa sedikit tersentak dan segera menyapu airmata yang sudah mulai menitis. Mungkin tidur suaminya terganggu dengan sentuhan tadi. 

" Erm... sayang terjaga, abang tidurlah" bisik Zalfa. Lengan suaminya diusap agar Farhan kembali tidur. Suaminya hanya mengangguk dan kembali memejam mata. Zalfa menguntum senyum. Perlahan dia bangkit dari katil dan keluar dari kamar. 


*********************


        Rasa tenang menghambat hati Zalfa usai menunaikan solat sunat. Dia jeda seketika. Berteleku dan berzikir di atas tikar sejadah. Usai, dia bangkit dan mencapai naskhah Al Quran. Di alun ayat suci Al Quran itu memecahkan keheningan pagi. 

" Sadakallahuladzim"  Zalfa mengakhiri bacaanya saat menyudahkan satu juzuk. AlQuran dikucup lembut dan disimpan. Dia tidak segera kembali ke kamar tidur, sebaliknya melencong ke bilik belakang. Bilik yang dahulunya menjadi kenangan dia bersama Maisarah. 

" Assalamualaikum" ucap Zalfa saat menapak masuk ke kamar yang sudah lama sunyi itu. Walau lama tidak digunakan, masih dijaga rapi oleh Zalfa dan Farhan. Perlahan langkah di atur ke sisi katil. Zalfa berteleku di situ. Almari kecil di sebelah kepala katil ditarik. Album gambar milik Maisarah dan Farhan dibawa keluar. 

" Fa rindu dengan kak Sarah...." bisik Zalfa perlahan. Foto arwah Sarah disentuh sayu. Airmata tidak tertanggung lagi saat wajah Sarah yang tersenyum mesra menghambat matanya. Dia gagal membahagiakan Farhan, seperti amanah dan janji yang diberikan pada arwah Sarah sebelum pemergiannya. 

3 tahun lalu...

" Akak percayakan Fa sorang je. Akak yakin Fa mampu jadi isteri yang baik untuk abang Han" ucap Sarah perlahan. Malam ini terasa begitu panjang seperti malam sebelumnya. Terasa diri tidak punyai waktu lama untuk menatap wajah-wajah kesayangannya. Tangan Zalfa digenggam erat. Hanya Zalfa keluarga yang dia punya di bumi Australia ini. 

" Fa tak nak kak. Akak jangan cakap yang bukan-bukan. Berehatlah , kak" Zalfa sudah basah dengan airmata. Selama setahun dia setia di sisi Maisarah, senior merangkap teman serumahnya sepanjang melanjutkan pelajaran di Australia ini. Hanya sesudah Maisarah berkahwin dengan Farhan, dia berpindah rumah lain. Kini, bila Maisarah disahkan menghidapi kanser pangkal rahim tahap kronik, Zalfa tidak pernah sesaat pun meninggalkan Maisarah. 

" Tunaikan hasrat akak , dik. Akak tak sanggup berkongsi kasih dengan wanita lain, tapi akak tak nak tinggalkan abang Han sendirian. Akak nak lihat kalian bersama, bahagia lepas akak pergi" bicara Zalfa terhenti-henti. Sesekali diselangi dengan batuk kuat. Zalfa mengurut dada Maisarah perlahan. 

" Sarah, awak jangan fikirkan semua tu, berehatlah. Abang tak nak awak cakap macam ni lagi" Farhan duduk dibirai katil dan mengusap lembut rambut isterinya. Maisarah memandang wajah suaminya dengan mata bening. Wajahnya yang pucat sudah lama hilang seri. Perlahan tangannya menarik tangan Farhan dan disatukan dengan tangan Zalfa. 

" Abang kahwin dengan Fa ya? Sarah izinkan" ucap Maisarah berharap. Farhan mengeluh perlahan. Pandangan dikalih pada Zalfa yang sudah tunduk mengesat airmata. 

" Sudahlah dulu, abang janji lepas ni kita bincang. Sekarang Sarah rehat dulu. Badan tu belum kuat lagi" bisik Farhan. Selimut ditarik hingga paras dada Maisarah. Zalfa berundur ingin keluar dan memberi ruang pada pasangan itu bersama.

" Mama inginkan cucu , bang. Abang juga dah lama idamkan zuriat. Sarah tak mampu nak beri pada abang. Tunaikan hasrat Sarah bang, ambil Fa jadi isteri.Ya bang?"  kata-kata Maisarah menghentikan langkah Zalfa. Dia berpaling menghadap pasangan itu. bagai ingin luruh jantungnya saat melihat Farhan mengangguk. 


Album gambar yang terlepas dari tangan mengejutkan Zalfa dari lamunan panjang. Hilang bayangan malam terakhir bersama arwah Maisarah. Zalfa mengela nafas panjang. Album gambar kembali ditatap. Dipandang lama. 

" Apa patut Fa buat kak...." bisik Zalfa perlahan. Lama dia diam , meladeni hati yang hiba. Saat tangisan sudah mulai reda, dan hati sedikit tenang, Zalfa menapak keluar dan kembali ke kamar. Farhan masih tidur pulas. Perlahan Zalfa merebahkan kepala di sisi Farhan. 

'sayang rela andai abang bahagia...' ucap Zalfa dalam hati. Wajah suaminya ditatap penuh kasih. Berkorban untuk orang yang kita cintai, itu namanya cinta. Cinta itu butuh pengorbanan. 


***************************


Zalfa tersenyum melihat suaminya yang segak berbaju melayu. Baju yang dijahit sendiri dari hasil tangannya. Langkah diatur ke arah Farhan yang duduk di birai katil. Bahu Farhan disentuh perlahan, membuatkan lelaki itu tersentak dari lamunan. Farhan melempar senyum hambar. 

" Handsome suami sayang ni" ucap Zalfa dengan senyuman yang masih setia meniti di bibir. Dia menarik tangan Farhan agar berdiri. Baju yang tersarung ditubuh Farhan dikemaskan. Baru ingin mencapai songkok dan dipakaikan ke kepala Farhan, suaminya itu menahan. 

" Kenapa sayang buat semua ni?" soal Farhan , sayu. Sungguh, dia pengantin lelaki yang seakan menerima hukuman gantung dihari perkahwinan sendiri. Langsung tiada gembira melainkan duka. Hatinya benar-benar terluka. 

Zalfa menatap mata suaminya dalam. Pipi Farhan diusap penuh kasih. 

" Satu yang sayang nak abang tahu, apa pun keputusan yang kita lakukan, kasih sayang pada abang sedikit pun tak berubah. Abang segalanya buat sayang" ucap Zalfa perlahan dan tenang.

" Abang tak sanggup...." bisik Farhan dengan suara yang tertahan-tahan. Matanya merah menahan sebak. Tanpa menunggu,Zalfa ditarik ke dalam dakapannya. Dipeluk erat. Airmata lelakinya gugur saat tubuh bersatu dengan isteri tercinta. Melihatkan tindakan Farhan, Zalfa turut sama tenggelam dengan airmata. Perlahan dia membalas pelukan, erat. 

" Assalamualaikum...."  ketukan di muka pintu bilik meleraikan pelukan mereka. Zalfa pantas menyeka airmata. Begitu juga dengan Farhan. Zalfa mengukir senyum. Pipi suaminya disentuh lagi. Kemudian dia tunduk dan mengucup tangan Farhan. 

" Tahniah ya bang. Sayang turun dulu. Insya Allah, semuanya akan baik" ucap Zalfa , ingin berlalu. Farhan menahan Zalfa. Tangan isterinya digenggam erat dan dikucup. Kemudian bibir didaratkan ke dahi Zalfa, lama.

Zalfa menahan sebak yang kembali menghurung dada. Perlahan dia meleraikan genggaman tangan suaminya yang begitu kejab. Dengan senyuman di bibir, Zalfa menapak keluar dari kamar, tanpa menoleh lagi. Diluar bilik, airmata hibanya gugur jua. 


***********************


" Sekali lagi , ya?" 

Farhan mengangguk lemah. Sudah tiga kali akad dilakukan, Farhan tidak berjaya melakukannya dengan sempurna. Tumpuan tidak sepenuhnya pada kadi yang menikahkan, tapi mata meliar mencari Zalfa yang sedari tadi tidak kelihatan. Hatinya dipagut bimbang. Mungkin isterinya itu tidak sanggup melihat pernikahannya. 

" Kau nak kemana, Han? Jangan malukan mama!" bisikan mama menghentikan Farhan yang mahu bangkit mencari Zalfa. Dia mendengus perlahan. Akad nikah diteruskan, dan kali ini lancar sebutannya. 

" Sah?" 

" Sah"  

" Alhamdulillah..." masing-masing mengangkat tangan, mengaminkan doa. Farhan tidak mampu menumpukan perhatian sepenuhnya. Usai berdoa, dia terus bangkit dan mencari Zalfa. Tiada di tingkat bawah, dia naik ke bilik. Kosong. Lemah lutut Farhan melihat almari baju yang terbuka. Beg dan baju milik Zalfa sudah tiada. 

" Ya Allah... sayang..." Farhan terduduk sayu disisi katil. Tudung dan jubah raya yang diberikan pada Zalfa dipeluk erat dan dibawa kedada. Hanya ini yang ditinggalkan isteri tercinta. Farhan tewas lagi dengan airmata. 


******************


" Terima kasih kak, datang lagi ya"  Zalfa menghulur plastik berisi ayam masak merah kepada pelanggannya. Syukur, di hari ke sepuluh ramadhan , perniagaannya semakin laris dan rezeki melimpah ruah. Walau baru berniaga di sini, pelanggannya tidak kunjung tiba, dan ada juga yang menjadi pelanggan tetap. 

" Habis lauk, Fa?"  Nazimah , peniaga sebelah merangkap jiran sebelah rumahnya menegur Zalfa. Zalfa menguntum senyum dan mengangguk. 

" Alhamdulillah kak,Licin. Rezeki anak agaknya" ucap Zalfa. Perut yang membesar diusap perlahan. Tiap kali memikirkan tentang anak, hatinya dihambat sayu. Entah bagaimana nasib anaknya ini bila keluar kelak. Jika ditanya kemana ayahnya, apa jawapan yang harus diberikan? 

" Kau dah patut berehat Fa. Sarat benar dah akak tengok kau tu. Gerai ni akak boleh suruh anak akak jagakan. Untungnya nanti akak tak ambil, kau ambil lah semua. Akak tak kisah" 

Zalfa tersenyum hambar. Dia sudah banyak termakan budi kak Nazimah sekeluarga. Cukuplah.

" Takpe kak. Kudrat saya masih ada. Lagipun kalau duduk je, tak boleh jugak kak. Tak aktif anak saya ni nanti. Malas macam mak dia" Zalfa berseloroh. Kak Nazimah ketawa kuat dan mencuit pinggang Zalfa. 

" Maaf cik, lauk dah habis" Zalfa bersuara saat seorang wanita berhenti dihadapan gerainya. Namun , sebentar kemudian dahinya berkerut. Seakan kenal dengan susuk tubuh itu. 

" Subhanallah. Kak Maira!" Zalfa menjerit riang. Dia bangkit dan memeluk erat tubuh Maira, yang sudah hampir setahun tidak ketemu. Begitu juga dengan Maira, mereka berdakapan mesra. 


************************


" Bila due ni?" soal Maira ketika mereka duduk berehat usai tarawikh. Zalfa tersenyum. 

" Insya Allah, raya ni kak" 

" Sarat macam ni pun, Fa meniaga lagi? Tak penat ke, Fa?" 

Zalfa senyum tawar. 

" Kalau tak meniaga, saya nak makan apa kak? Anak ni nanti, banyak barang nak beli" 

" Ayah dia ada. Semua tu tanggungjawab Han!" 

Zalfa tunduk. Selama setahun ini, dia menyembunyikan diri dari pengetahuan sesiapapun, hatta Farhan sendiri. Dia membawa diri ke utara tanah air. Sebulan selepas keluar dari rumah, baru Zalfa sedar dirinya sedang hamil. 

" Fa tak nak abang tahu kak. Nanti dia rasa bersalah" 

Maira memandang Zalfa sayu. Tangan Zalfa diusap perlahan. 

" Sampai bila Fa nak larikan diri? Farhan tak bahagia tanpa Fa. Setahun dia hilang arah tanpa Fa disisi dia. Baliklah Fa, Farhan tunggu"

" Fa tak boleh kak... Fa...." Zalfa kehilangan kata-kata. Bukan dia tidak mahu kembali, tapi ugutan ibu mertuanya membuatkan Zalfa bertindak sebegini. Dia tidak mahu nama Farhan hilang sebagai pewaris hanya kerana ingin bersamanya. Dia tidak mahu hidup Farhan susah.

" Farhan perlu tahu Fa. Ini anak dia. Dia ada hak" pujuk Maira. Zalfa diam. Hanya tangisan yang kedengaran. Perutnya diusap perlahan. Wajah Farhan terbayang diruang mata. Hiba mengenangkan suami yang sudah hampir setahun tidak bertemu. 

" semua sebab mama , kan?" Maira meneka. Soalan Maira itu membuatkan Zalfa mengangkat kepala. Maira mengeluh kuat. Sudah diagak, semua ini angkara mama! 

" Mesti mama ugut Fa macam-macam kan? Dia nak tarik nama Farhan sebagai pewaris harta arwah papa, betul?" 

Zalfa sekadar diam. Membantah tidak, setuju pun tidak. Maira mengeluh lagi dan mengusap bahu Zalfa perlahan. 

" Akak alami benda yang sama dulu, Fa. Mama tak pernah setuju akak kahwin dengan abang Firdaus. Dia pandang yang suami akak tu miskin, tak berharta. Tapi alhamdulillah, akak bahagia , Fa. Bahagia bukan boleh dicari dengan wang ringgit, tapi hati" 

" Tapi , kak...

" Akak yakin Farhan lebih cintakan Zalfa. Harta semua dia tak pandang. Baliklah pada dia, Fa. Akak nak tengok kalian bahagia" 

Zalfa memandang Maira. Maira mengangguk , berharapan. Kemudian dia menarik Zalfa ke dalam pelukan, didakap erat. Yakin , akan ada bahagia buat Zalfa dan Farhan. 


*************************


" Betul ni, tak nak akak temankan?" soal Maira saat keretanya berhenti di hadapan klinik puan. Zalfa sekadar menggeleng dan menanggalkan tali pinggang keledar. Perlahan dia menapak keluar dari kereta dan melangkah menuju ke klinik yang hanya beberapa meter dihadapan. 

DUMMM!!!

Maira tersentak mendengar dentuman kuat di kirinya. Dia tala kepala. Seakan satu tamparan hebat tatkala melihat tubuh Zalfa yang sudah terbaring di atas jalan raya. Pantas dia berlari keluar dan mendapatkan Zalfa. 

" Ya Allah , Fa. Macam mana ni, Ya Allah. Tahan ,Fa. Tolong! Panggil doktor, cepat!" airmata Maira tidak tertahan melihat Zalfa yang dalam kesakitan. Sekitar kawasan klinik sudah dikerumuni dengan orang ramai. Doktor dari klinik bergegas keluar dan memberikan bantuan. 

" Ss...sakit kak... ann...annak Fa.... Allah...Allah...ttolong... kk...kak..." suara Zalfa tersekat-sekat menahan sakit. Tangan Maira digenggam kuat melawan kesakitan yang mencengkam. Airmata gugur seiring dengan tubuhnya yang semakin terasa lemah. Perlahan , mata Zalfa tertutup dan terkulai layu di sisi Maira.


***********************


Allahuakhbar Allahuakhbar Allahuakhbar
Lailahhaillallahu Allahuakhbar
Allahuakhbar Walillahil hamd

Zalfa perlahan membuka mata saat telinganya menangkap alunan takbir halus itu. Sedikit mata dibuka, kembali mengecil dek sinaran lampu. Kemudian dibuka lagi. Pandangannya dibataskan dengan syiling bewarna putih. Zalfa meliarkan pandangan ke kiri . Matanya jatuh pada sesusuk tubuh yang sedang khusyuk di tikar sejadah. 

" Abang...." seru Zalfa perlahan. Lelaki yang sedang bertakbir tadi, segera berpaling. Kemudian dia bingkas bangun dan mendapatkan Zalfa. 

" Ya Allah, sayang dah sedar. Alhamdulillah" Farhan tunduk dan mengucup dahi Zalfa lama. Airmata kesyukuran gugur membasahi pipinya. Dari dahi beralih ke pipi isteri tercinta. Zalfa menguntum senyuman hambar. 

" Dekat mana ni, bang?" soal Zalfa, masih bingung. Dia mahu bergerak, namun terasa pedih dibahagian ari-arinya. 

" Sayang dekat hospital. Jangan banyak bergerak ya. Luka sayang tak sembuh lagi" 

Zalfa mengangguk lemah. 

" Dah raya ya, bang. Sayang dengar abang takbir tadi" Farhan sekadar mengangguk. Zalfa menghela nafas. Entah sudah berapa lama dia terlantar disini. Dia memejam mata , cuba memutarkan kembali apa yang berlaku. Saat segalanya sudah terlayar di minda , Zalfa membuka mata. Perutnya diraba. Kempis. 

" Bang, anak kita mana? Fa nak tengok dia" ucap Zalfa , teruja. Permintaan Zalfa membuatkan airmuka Farhan berubah. Dia menghela nafas berat. Tangan isterinya digenggam erat. 

" Sabar ya sayang. Allah lebih sayangkan dia. Anak kita dah tak ada" Farhan mengucapkannya dengan penuh hiba. 

" Astagfirullaladzim... Ya Allah... anak ibu...anak kita bang... anak kita ..." Zalfa mengogoi hiba. Pantas Farhan bangkit dan mendakap tubuh isterinya. 

" Redhakan sayang... redhakan pemergian dia..." bisik Farhan perlahan. Tubuh Zalfa diusap penuh kasih, membiarkan Zalfa melepaskan perasaan dibahunya.


*************************


Zalfa kaku di dalam kereta. Berat kakinya mahu melangkah turun. Banglo mewah yang tersergam indah dihadapannya itu, menyimpan seribu satu kenangan pahit dalam hidupnya. Farhan tersenyum. Tangan isterinya digenggam erat seakan memberi kekuatan. 

" Sayang jangan takut, abang ada" ucap Farhan perlahan. Zalfa sekadar mengangguk, separuh yakin. Nafas ditarik perlahan sebelum melangkah turun dari kereta. Mereka beriringan menuju ke pintu utama. 

" Assalamualaikum" Farhan memberi salam. Kehadiran mereka disambut dengan kak Maira. Tersenyum dia pada Zalfa. Tubuh adik iparnya di peluk erat. 

" Masuklah, Fa. Mama dah tunggu dekat dalam" ucap Maira. Zalfa sekadar mengangguk dan menurut langkah suaminya. Tangan Farhan digenggam erat , tidak mahu dilepaskan. 

" Mama, tengok siapa datang" Maira masuk ke kamar mendahului mereka. Tersentak Zalfa melihat sekujur tubuh tua itu terbaring lemah di atas katil. Zalfa menekup mulutnya. Bagai tidak percaya akan apa yang dilihat kala ini. Suaminya dipandang meminta kepastian. 

" Mama kena serang strok sayang, lepas dengar berita tentang sayang dan Lysa" Farhan menerangkan. Sengaja dia tidak mahu memberitahu isterinya awal lagi, bimbang Zalfa akan terkejut dan itu akan mengganggu kesihatannya. 

Zalfa mengawal hiba yang bertandang, melihat keadaan mama yang begitu. Mulutnya senget dan tangannya bengkok ke dada. Matanya tidak lepas memandang Zalfa sedari tadi. Zalfa mendekati mama, dan tangan tua itu dikucup penuh hormat. 

" Selamat hari raya , mama. Ampunkan dosa Fa selama ni, Fa banyak buat salah dengan mama" ucap Zalfa sayu, dengan airmata yang sudah membasahi pipi. Mama mengerdipkan matanya beberapa kali. Tangannya diangkat mahu menyentuh wajah Zalfa. 

" Mm...mma..mmama... mm..minn..minta... mma...maa...maaf " tersekat-sekat bicara mama, mahu memohon maaf pada Zalfa. Zalfa mengangguk tanda dia mengerti dan memaafkan mama. Tanpa menunggu, tubuh mama didakap erat. Dakapan yang terlalu dia dahagakan selama empat tahun ini. 

Maira yang menyaksikan penyatuan dua beranak itu, turut sama tewas dengan airmata. Farhan tersenyum dan menepuk bahu kakaknya. Dia juga bersyukur. Allah mengambil nyawa anaknya, namun diganti dengan kasih sayang mama yang tidak terbatas nilainya. Sungguh, dia benar-benar bersyukur dengan perubahan mama. 

" Nanti bawa Fa ke bilik Lysa. Akak nak naik, tengok budak-budak" ucap Maira sebelum menghilang di balik pintu. Farhan sekadar mengangguk, dan menunggu Zalfa. 

" Sayang, kita keluar dulu ya. Biar mama berehat" 

Zalfa mengangguk. Airmata diseka dan pipi mama dikucup penuh kasih. Setelah mama memejamkan mata, mereka beriringan keluar. Langkah diatur menuju ke kamar Lysa. Madunya itu sedang di beranda. 

" Assalamualaikum" Zalfa memberi salam, mengejutkan Lysa yang termenung di atas kerusi roda. Dia paling kepala. Jelas, riak terkejut tatkala dia melihat Zalfa dihadapannya. Perlahan dia menjawab salam. 

" Lysa sihat? Apa khabar?" soal Zalfa mesra. Tangannya dihulur dan Lysa menyambutnya, walau teragak-agak. Fikirnya Zalfa kesini mahu menyerangnya. 

" Kenapa awak ke sini?" 

Zalfa tersenyum. Dia mengerling suaminya seketika, sebelum kembali memandang Lysa. 

" Saya datang sebagai saudara, dan juga teman. Saya nak melawat awak" 

" Tapi saya... awak tak marahkan saya?" 

Zalfa senyum lagi, kemudian dia menggeleng. 

" Saya dah maafkan"  ucap Zalfa ikhlas dan tulus. 

Lysa menundukkan wajah. Airmatanya gugur satu persatu. 

" Saya tak layak dimaafkan... saya kejam.... saya dah bunuh anak awak... saya ragut kebahagiaan awak, Zalfa. Saya patut mati je" ucap Lysa dalam tangisan penuh kekesalan. Wajahnya ditekup. Dia benar-benar malu dengan dirinya sendiri. Hanya kerana cemburu pada kasih sayang Farhan terhadap Zalfa, dia nekad melanggar Zalfa pada hari itu. 

" Siapa saya untuk menghukum seseorang atas kesalahan yang dilakukan. Saya bukan Tuhan, Lysa. Tugas saya memaafkan, dan sebaliknya, terpulang pada urusan awak dengan Allah. Ruang taubat masih terbuka luas buat hamba yang menginsafi kekhilafan diri, Lysa" 

" Hati awak mulia , Zalfa. Awak sanggup maafkan orang yang kejam macam saya. Tak salah lagi, mengapa Farhan begitu mencintai awak. Selama ni saya terlalu cemburu, iri dengan keistimewaan awak dihati Farhan. Tapi sekarang saya faham, awak memang wanita yang istimewa, tiada galang gantinya di dunia ni. Saya minta maaf Zalfa. Saya khilaf, dan saya dah terima akibatnya" ucap Lysa sayu. 

Dia cacat anggota badan. Ini balasan atas tindakan kejamnya terhadap Zalfa. Selepas melanggar Zalfa dan melarikan diri, Lysa terlibat dalam kemalangan dengan lori treler. Kerosakan fungsi pada kedua-dua kakinya , membuatkan kakinya terpaksa dipotong. Kini hidupnya hanya bergantung pada kerusi roda sahaja. 

" Sudahlah. Saya dah maafkan awak. Saya dah redha dengan semua yang berlaku. Abang..." Zalfa menggamit suaminya. Tangan Farhan dicapai, dan diletakkan di atas tangan Lysa. Kemudian dia menggenggam kedua-dua tangan itu. 

" Kita boleh bahagia... dan abang... kena adil pada kami berdua. ya?" 

Farhan sekadar tersenyum dan mengangguk. Walaupun hati tidak sepenuhnya menerima Lysa, keikhlasan Zalfa dalam memberi kemaafan, membuatkan hati Farhan terbuka. Dia akan belajar menyayangi keduanya. 

Zalfa tersenyum. Walau kehidupan bermadu itu lebih pahit dari manisnya, tapi hati Zalfa bahagia. Dia bukan perampas, tetapi kedaan dan takdir yang menentukan  dia untuk berkongsi kasih Farhan bersama Maisarah. Kini, Lysa juga bukan yang merampas. Ini semua aturan Allah, bahagian untuk kebahagiaan mereka. Setiap orang itu berhak untuk bahagia, cuma caranya berbeza. Payung emas? Bukan itu yang dipandang. Dia cuma mahukan satu. Cinta yang diredhai, sepanjang jalan menuju syurga. Amin .

No comments:

Post a Comment

♫ assalamualaikum ♫

terima kasih sudi komen.
nanti datang komen lagi ea.