Inikah ertinya cinta?





Qish Faizureen menarik nafas panjang. Terasa sesak dadanya akibat berkejaran ke sana sini. Semua salah Qea, teman serumahnya yang bangun lewat.Sudahnya dia telat sampai ke lapangan terbang dan  hampir sahaja terlepas penerbangan sebentar tadi. Qish melaras tempat duduknya agar dia dapat bersandar dengan selesa. Baru sahaja ingin memejamkan mata, dia disapa seseorang. 

“ Miss…” seorang pramugari menghampiri Qish dan menyerahkan bantal beserta selimut. Qish tersenyum dan mengangguk. Senang dengan layanan tip top dan mesra pelanggan yang diberikan oleh Harimau Malaya Airlines. 

“ Cik…” Qish kembali membuka mata saat ditegur lagi. Jika tadi dia boleh tersenyum, sekarang dia benar-benar rasa terganggu. Perlahan matanya dibuka. Bukan pramugari yang berdiri didepannya, tapi seorang lelaki berkemeja putih. Qish berkerut dahi. 

“ Ya?” soal Qish. Lelaki itu tersenyum. Dia menjeling sebuah seat kosong disebelah Qish Faizureen. Qish turut melakukan perkara yang sama. ‘eh, seat dia ke?’ soal Qish dalam hati. Tapi takkan dah fly baru nak cari seat. 

“ Urm , maaf. Nak tanya seat sebelah cik tu kosong kan?” 

Qish hanya mengangguk. 

“ Tempat saya tu” ucap lelaki itu dengan senyuman yang masih lagi terukir. Dahi Qish berkerut sedikit, namun melihatkan nombor yang diunjuk pada tiket lelaki itu, Qish tidak dapat meraguinya lagi. 

“ Kalau cik rasa tak selesa, kita boleh tukar tempat. Saya ok je” sambung lelaki itu lagi saat Qish teragak-agak memberi laluan padanya. Qish mendengus kecil. Kemudian dia bangun dan bergerak ke tempat duduk di sebelah tingkap. Usai, dia terus menutup mata, tidak berminat untuk berbual atau berbicara dengan lelaki itu lagi.


Baru sebentar melelapkan mata, Qish sudah terjaga. Perjalanan untuk tiba di KLIA masih lama. Qish memegang perutnya yang terasa pedih dan perit. Pasti akibat tidak mengisi perut sebelum terbang tadi. Penumpang di sebelahnya dilirik. Lelaki itu sedang lena tidur. Menyesal pula menerima  tawaran lelaki itu tadi untuk menukar tempat duduk. Sekarang susah untuk dia bergerak keluar. 

“ Encik…” Qish bersuara perlahan. Beberapa kali diulang, namun tiada tanda lelaki itu akan bangun. Qish mengeluh perlahan. Perut yang pedih semakin menjadi-jadi sakitnya. Terasa lemah seluruh badan menahan kesakitan. 

“ Encik, bangun..” Qish bersuara sekali lagi. Kali ini bahu lelaki itu digoyang sedikit. Dua kali percubaan barulah ada reaksi. 

“ Err.. sorry” lelaki itu pantas menegakkan badannya dan memberi laluan pada Qish saat gadis itu menyatakan hasratnya ingin ke bilik air. Hampir lima minit kemudian, Qish kembali semula ke tempat duduk. Qaisy Haiyyan memerhati wajah gadis disisinya. 

“ Cik sakit ke?” soal Qaisy Haiyyan saat melihat wajah gadis itu yang begitu pucat. Qish menggeleng perlahan, namun saat ini dia terasa ingin baring di atas katil. Tekak yang masih loya dan mual membuatkan seluruh tenaganya hilang. Qish bersandar di kerusi dan memejamkan mata rapat. Namun perut yang mencucuk-cucuk membuatkan Qish tertunduk menahan sakit. 

“ tolong saya boleh tak…” Qish bersuara, dengan keadaan yang masih menunduk. Namun tiada sahutan. Qish mengangkat wajah. Saat berpaling ke sisi, lelaki di sebelahnya sudah tiada. Qish mengeluh perlahan. Baru sahaja ingin menekan butang bantuan, lelaki tadi kembali duduk. 

“ Awak gastrik ni. Minum air panas ni dulu, lepas tu, makan ubat ni” Qaisy Haiyyan menarik meja lipat dan meletakkan secawan milo beserta ubat di hadapan Qish. Qish terleka seketika. Terharu pun ada akan keprihatinan lelaki yang tidak dikenali itu. Dia hanya mampu mengukir senyum dan mengucap terima kasih. 

“ Nak makan or rest dulu?” soal Qaisy Haiyyan usai gadis di sisinya itu mengambil ubat. Namun tiada jawapan. Gadis itu memandang wajahnya tidak berkelip. Qaisy Haiyyan ketawa perlahan. Mungkin caranya membuatkan gadis itu terkejut dan serba salah. 

“ Saya memang macam ni. Pantang tengok orang sakit. Awak jangan salah faham ya. Maaf kalau buat awak tak selesa. Dah terbiasa jaga orang sakit, terbawa-bawa pulak” terang lelaki itu , membuang pandangan kurang senang Qish sebentar tadi. 

“ Doktor ke?” soal Qish, cuba membuka suasana selesa. Mungkin tindak balas yang ditunjuk tadi , membuatkan lelaki itu terasa. 

“ Doktor? Ermm…Boleh dikatakan macam tulah” jawab Qaisy sambil tersenyum. 

“ Oh, no wonderlah. By the way, thanks. Saya ni memang senang kena gastrik. Tadi tak sempat ambil breakfast” 

Qaisy Haiyyan mengangguk faham.

“ Awak dah ok ke ni?” 

Qish mengangguk perlahan. “ Alhamdulillah , dah ok sikit”  

“ Erm..Balik bercuti ke?” 

“ Nope balik terus. Baru habis study. Awak?” 

“ Saya? Saya balik nak kawin” terang Qaisy Haiyyan , jujur. Terangkat kening Qish mendengarnya. Kemudian dia mengukir senyum. 

“ Untung your future wife. Dapat suami doctor, prihatin and caring lagi” puji Qish sambil ketawa kecil. Qaisy turut sama meletuskan tawa. 

“ Amin. Hope lepas kawin sifat saya tu berkekalan lah. Saya pun rasa untung jugak, dapat wife bijak,….. cantik…. Manis.. and… ermmm… sopan. ” Qaisy membalas dengan memandang Qish. Seolah-olah ciri bakal isterinya ada pada Qish. 

Qish mengangguk dan mengukir senyum. Untunglah kawin setaraf. Sama-sama bijak dan ada rupa. Qish membuat ulasan sekadar dalam hati.Seketika kemudian masing-masing kembali senyap. Qish kembali melelapkan mata dan tahu-tahu saja kapal terbang sudah mendarat di KLIA.



“ Siapa jemput awak?” Qaisy Haiyyan bersuara setelah mereka bergerak menuju pintu keluar dari tempat bagasi. Qish mengangkat bahu. Semalam sewaktu menghubungi rumah, ayahnya memberitahu mereka satu keluarga akan datang menjemputnya. 

“ Parents saya kot. Tak sure kalau family lain ikut sekali” jawab Qish. 

“ Yelah, anak manjalah katakan. Untung jadi anak last ni kan. Family sayang lebih” ujar Qaisy Haiyyan sambil tersenyum. Berkerut dahi Qish mendengarnya. 

“ Mana tahu saya anak last ni?” soal Qish pelik. 

“ Tadikan awak cerita , awak ada abang and kakak. So, saya teka jelah awak anak last. Betul kan?” jawab Qaisy sambil tersengih. Qish mencebik. Namun dia senang dengan perkenalan sementara ini. Qaisy begitu ramah dan senang dijadikan kawan. Mujur lelaki ini sudah mahu berkahwin , jika tidak pasti akan masuk dalam senarai ‘bakal suami pilihan’ . Qish tersenyum sendiri. 

“ Tersenyum-senyum. Berangan ek?” Qaisy menguis bahu Qish, membuatkan gadis itu sedikit terkejut. Qish mengetap bibir malu. Qaisy dijeling sekilas. 

“ Mana ada. Err.. dahlah, saya gerak dulu. Sini beg saya” Qish sudah memegang troli, namun Qaisy tidak melepaskan pegangan. Dia tetap kaku di situ. 

“ Its ok. Saya tolong tolakkan. Berat ni” 

“ Eh, takpelah. Bukannya saya angkat pakai tangan” Qish menegah. Nanti apa pula kata keluarganya. Melihat dia jalan beriringan dengan lelaki. Siap bawakkan beg lagi. Qaisy Haiyyan mengukir senyum dan terus melangkah bersama troli beg milik Qish. Langsung tidak menghiraukan Qish yang masih termanggu. 

“ Eh , awak, tunggulah!” Qish seakan baru tersedar dan pantas mengejar Qaisy yang sudah hilang disebalik pintu. Namun langkahnya terhenti tidak jauh dari tempat Qaisy berdiri. Qish tergamam dan hampir tidak percaya dengan drama didepannya kala ini. 

“ Qish, kenapa tercegat tu. Sinilah!” Raihanah menyeru adiknya yang berdiri bagai patung beberapa meter dihadapan mereka. Qaisy Haiyyan tersenyum memandang Qish Faizureen yang jelas tampak terkejut. Qaisy menolak troli beg Qish dan menyerahkannya pada Raihanah. Kemudian dia mendapatkan ibu bapa Qish, dikucup tangan kedua orang tua itu penuh hormat. 

“ Sihat pakcik, makcik?” soal Qaisy. Kedua orang tua Qish mengangguk serentak dan menguntum senyum .

“ Senang hati ibu tengok Qish ada dengan kamu. Risau jugak bila dia kata nak balik sorang. Flight ok ke Qaisy?” 

“ Alhamdulillah, ok. Saya tak kerja hari ni makcik. Saya jadi doktor peribadi Qish je tadi” seloroh Qaisy dan menguntum senyum pada Qish yang masih kebingungan di sisinya. 

“ Ibu, esplain please??” soal Qish tidak sabar. Wajah keluarganya dan Qaisy dipandang silih berganti , minta penjelasan. 

“ Astagfirullahaladzim. Ibu dah agak ni. Kamu tak kenal Qaisy ni siapa ke?” 

Qish memandang wajah ibunya dengan dahi yang berkerut seribu. Kemudian beralih pada Qaisy. Dipandang lelaki itu dari atas ke bawah. Namun tiada satu bahagian tubuh lelaki itu pun yang membantu dia untuk mengingati siapa yang dimaksudkan ibu ini. 

“ Adik, kan Qaisy Haiyyan tu. Tunang adik. Mesti tak tengok gambar yang along hantar tu kan?” Raihanah mencuit pinggang Qish geram. Buntang mata Qish mendengarnya. Dia mengeluarkan iphone miliknya dan melihat semula gambar yang dihantar Raihanah minggu lalu. Kemudian dia menekup mulut bagai tidak percaya. 

“ Manalah adik tau. Gambar ni pakai baju pilot, siap topi. Kan susah nak cam!” Qish meningkah. Ibu bapa Qish menggeleng kepala. Macam-macam hal anak daranya sorang ni. Raihanah turut sama tersenyum dengan gelagat Qish. Dia bergerak ke bonet kereta dan memasukkan beg milik Qish, meninggalkan Qish yang masih tersipu disebelah Qaisy Haiyyan.


“ Kenapa diam je ni. Terkejut lagi ke?” Qaisy Haiyyan bersuara setelah hampir setengah jam mereka meninggalkan lapangan terbang. Tadi sewaktu ingin balik, ibu bapa Qish memberi izin pada Qaisy untuk memandu pulang berasingan ke Muar bersama Qish. Memberi ruang untuk mereka berdua berbincang. 

Qish menggeleng. Sebetulnya dia masih malu untuk berbicara, saat mengetahui lelaki itu adalah tunangannya yang selama ini berhubung melalui email sahaja. Qaisy Haiyyan ketawa kecil melihat Qish yang tiba-tiba jadi pemalu dan pendiam.Berbeza sewaktu perkenalan mereka sebentar tadi. Qish mesra berbual dan bercerita. 

“ Bisu pulak tunang saya ni. Tadi ok je kita borak-borak kan?” 

Qish menjeling Qaisy sekilas. Bibirnya diketap geram. Botol air mineral ditangannya diangkat dan mengetuk perlahan lengan Qaisy, membuatkan lelaki itu ketawa kecil. 

“ Garangnya!” ujar Qaisy sambil tersengih. Qish hanya mencebik dan melempar pandangan ke luar tingkap. 

“ Alah, cakap sikit pun nak merajuk. Ok, saya minta maaf sebab tak kenalkan diri saya tadi. Saya bukan apa, cuma nak test, tunang saya ni macam mana orangnya” 

“ Ingat saya ni barang eksperimen ke nak test-test? Eii, sakit hati tau. Tak best betul. Awak kenal saya, saya tak kenal awak, mana aci” Qish meluahkan rasa geram. Malu pun ada. Terkenang kembali saat dia sakit dan saat dia memuji-muji lelaki itu. Arghhh, maluuu!!!!

“ Aci dekat Indialah” jawab Qaisy selamba dan disusuli ketawa kuat saat Qish membuntangkan matanya. 

“ Ok. Salah saya k. Sorry lah. Saya janji tak buat lagi. Awak janganlah marah-marah. Tak lama lagi dah kita nak kawin kan? Saya tak nak kita gaduh-gaduh, salah faham semua. Tak best” 

“ Ermmm.. saya bukan marah. Cuma, saya malu. Sorry ea menyusahkan awak masa dalam flight tadi”  ucap Qish perlahan. Qaisy tersenyum dan mengangguk. 

“ Its ok. Awak kan tunang saya, bukan orang lain. But, if its not you pun, saya akan tolong. Takkan lah sampai hati saya nak biarkan awak sakit macam tu” terang Qaisy. Qish tersenyum dan mengangguk. Seketika suasana sepi , hanya ditemani suara radio. 



“ Ermm. Awak. Saya nak tanya sikit boleh?” Qish bersuara memecahkan kesunyian. Qaisy memandang Qish sekilas dan kemudian mengangguk. 

“ Awak tak kisah ke terima saya. Erm, yelah. Saya ni rasanya tak menepati ciri –ciri perempuan idaman, kerja pun belum ada. Takut membebankan awak” sedikit lega hati Qish , dapat meluahkan persoalan yang membelenggu hatinya sepanjang enam bulan tempoh bertunangan mereka ini. 

“ Sebelum saya jawab, saya nak tahu jawapan awak dulu. Kenapa awak terima saya, kalau awak sendiri tak yakin?” soal Qaisy. Qish menunjuk riak tidak puas hati. Dia tanya dulu, ada pulak tanya dia balik. Qish diam seketika, mencari jawapan yang terbaik. 

“ Saya ni memang dari kecik , mendengar cakap parents. Study ke, apa ke, ikut cakap mak ayah asalkan baik. Bila ibu usulkan tentang awak, saya taklah melulu terima. Saya pertimbangkan jugak semuanya. Istikharah pun saya buat, and Alhamdulillah ada jawapan yang baik. Lagipun, sebelum-sebelum ni, adik beradik yang lain, ibu jugak yang carikan. Bahagia saya tengok. Jadi, pilihan ibu, saya tak ragu-ragu. Insya Allah, apa yang baik di mata ibu, baiklah untuk saya” 

Qaisy mengangguk dan tersenyum. Puas hati dengan jawapan yang diberikan tunangnya itu. Seketika dia diam sebelum menjawab soalan Qish tadi. 

“ Saya tak dapat isteri bergelar doktor, tapi saya yakin awak dapat jaga saya sampai hari tua. Awak bukan chef ternama, tapi air tangan awak nanti, mampu buat saya kenyang dan gembira. Saya tahu jugak, isteri saya ni bukan pakar hiasan dalaman atau lanskap, tapi kehadiran awak dalam raudhah cinta kita nanti dah cukup buat rumah saya berseri dan bercahaya. Kalau awak tak ada alasan untuk menerima saya, kenapa pula saya mesti beralasan dan bersyarat untuk mencintai awak, dan jadikan awak isteri saya” jawab Qaisy dengan penuh tulus. Kedengaran jujur sekali di telinga Qish. Hampir menitis airmata Qish , terharu dengan keihklasan bicara Qaisy Haiyyan. 

“ Insya Allah. Saya cuba jadi isteri yang sentiasa membahagiakan suami. Walau saya masih belum sepenuhnya mengenali awak, hati budi awak, tapi saya juga yakin, awak mampu untuk menjadi suami dan imam yang baik buat saya. Insya Allah” 

“ Amin…” Qaisy menyambut dengan senang hati. Mereka sama-sama berbalas senyuman. Ada satu perasaan asing yang singgah di hati mereka saat mata keduanya bertembung. Qish pantas melarikan wajahnya. Jantungnya berdegup laju. Mungkin ini permulaan bagi perjalanan cinta mereka. 

“ Hah, nak tanya something” Qish tiba-tiba bersuara. Qaisy sedikit tersentak dengan suara Qish yang sedikit lantang. Qish tersengih dan meminta maaf. 

“ Nak tanya apa?” 

“ Kenapa awak tipu, cakap awak ni doktor?” 

“ Mana ada tipu. Betullah, pilot tu kerja tetap. Doktor tu kerja sambilan. Bukan sembarangan orang boleh dapat servis dari doktor ni tau” 

“ Eleh doktor auta” Qish menungkas dan mencebik. Qaisy menguntum senyum. Wajah Qish dipandang sekilas. 

“ Bukan doktor auta, tapi doktor cinta” ujar Qaisy nakal sambil mengenyitkan mata. Tidak semena wajah Qish diserbu malu mendengarnya. Namun dalam hatinya ada bahagia.Seakan tidak sabar  menunggu hari bahagia , melayar bahtera rumahtangga bersama Qaisy Haiyyan. Moga dipermudahkan segala urusan. Amin Ya Rabb.

No comments:

Post a Comment

♫ assalamualaikum ♫

terima kasih sudi komen.
nanti datang komen lagi ea.