Puteri...abang doktor



cer teka sapa dalam gambar tu? ahaks.. =P



" Puteri, jangan lari!!" 

Waliyah berteriak memanggil Puteri Ina yang sudah berlari dari khemah masak menuju ke khemah tetamu. Di tangan Puteri menatang sejag air sirap limau. Bimbang jug itu akan berderai nanti, memandangkan ramai tetamu yang baru tiba dan berada di khemah tersebut. 

" Opssssssss!!" 

Puteri Ina brek mengejut saat tubuhnya melanggar seorang lelaki yang sedang berdiri membelakanginya. Namun brek tidak menjadi saat air sirap limau dalam tangannya sudah tertuang pada tubuh lelaki itu. Habis basah lecun seluruh baju. 

" Ya Allah Puteri! Kak Liya kan dah cakap. Degil tau. Kan dah jatuh" Waliyah segera mendapatkan Puteri yang sudah terjelepok di atas tanah. 

" Sakit..... kak.. sakit.." Puteri sudah mencebik menahan tangis. Tangannya yang berdarah akibat terkena serpihan kaca, diangkat tinggi. Waliyah mempamer wajah risau. Tangan Puteri di sentuh perlahan, dan dia membantu Puteri untuk bangun. 

" Akak dah cakap, jangan lari-lari. Sekarang siapa sakit? Dah, kita naik atas  sapu ubat" 

Waliyah melangkah beriringan dengan Puteri Ina. Namun dia menghentikan langkah. Terlalu asyik risaukan Puteri, hingga dia lupa pada lelaki yang menjadi mangsa sebentar tadi. Waliyah berpusing, mencari lelaki itu, namun entah kemana dia menghilang. Mungkin pergi membersihkan diri.

" Hurm.. tak sempat nak minta maaf" bisik Waliyah perlahan. Hendak mencari, wajah lelaki itu tidak dia berapa cam. Waliyah mengeluh dan kembali melangkah, naik ke rumah. 



********

" Oit bro, menung apa?" 

Zahril menepuk bahu Afiq yang seakan sedang termenung jauh. Afiq tersentak. Dia menjeling sepupunya itu sekilas sebelum kembali melempar pandangan ke tengah bendang. Sesekali menghabiskan cuti di kampung begini, membuatkan hatinya tenang. Jauh lebih tenang dari bandar Kuala Lumpur yang tidak pernah sunyi dan sesak. 

" Aku nak tanya sikit, boleh?" Afiq membuka bicara setelah agak lama berdiam. Zahril mengangkat kening, tanda dia mengizinkan. 

" Semalam, dekat wedding tu, aku macam kenal someone. Tapi ....." Afiq mematikan kata. Wajah gadis itu kembali terlayar di matanya. Namun characternya jauh berbeza dengan yang dikenali olehnya beberapa tahun dahulu. 

" Tapi? siapa yang kau kenal ni, mana satu?" soal Zahril. Jika penduduk Teluk Rimba, boleh dikatakan semua dia kenal, dan tidak kurang juga yang mengenali dia.

" Puteri Ina... kau kenal?" 

Tersentak Zahril mendengarnya. Perlahan dia mengangguk namun dahinya mengukir kerutan. Hatinya tertanya-tanya bagaimana sepupunya boleh mengenali gadis itu. 

" Dah berapa lama dia jadi macam tu?" soal Afiq. 

Semalam sewaktu berlanggar dengan gadis itu, dia amat yakin dan pasti, itu adalah Cikgu Ina. Guru yang terlibat bersama-sama dengannya sewaktu menjadi sukarelawan komuniti belia. Mereka memberi khidmat sukarela kepada anak-anak orang asli disamping menjadi fasi kepada anak belia yang baru menyertai aktiviti tersebut. 

" Adalah... dalam dua tahun lebih... kesian dia" Zahril menjawab setelah mencongak beberapa ketika.Sejak peristiwa hitam itu berlaku, Zahril sudah jarang berbual mesra dengan Puteri seperti masa dahulu.  Puteri Ina , teman karibnya sewaktu zaman sekolah rendah dahulu. Seorang gadis yang bijak dan periang. Juga turut tersenarai sebagai guru muda cemerlang peringkat negeri Johor. 


" Patutlah, aku dah lama tak jumpa dia. Aku tanya  sekolah dia, pejabat cakap dia berhenti sebab sakit.kalau aku boleh tau, apa sebab dia jadi macam tu? " 


" hurm... at first dia accident masa on the way balik kampung. But then...." Zahril melepaskan keluhan berat. Rasa bersalah pula mahu membuka cerita mengenai kejadian yang menimpa Puteri Ina. 


" Eishh.. tak eloklah cerita hal orang. Kalau kau nak tahu, pergi tanya family dia sendiri" 


" Aduh kau  ni, cerita jelah. Aku nak tau" sungut Afiq. Bersungguh dia menunggu dari tadi, namun itu pula jawapan yang diberikan oleh Zahril. Zahril tersengih dan menggaru kepala.


" Aku bukan apa, tak elok memandai-mandai buka hal peribadi orang. Lagi pada orang luar macam kau. Nanti apa pulak cakap family dia" 


Afiq mengeluh keras. Nampaknya, dia perlu mencari jawapan sendiri. Esok dia akan berkunjung ke rumah Puteri Ina bagi mendapatkan jawapan. Iphone miliknya dikeluarkan. Dia ingin menyambung cuti untuk beberapa hari lagi. Tidak jadi masalah besar kerana dia membuka klinik sendiri. Rakan sekerjanya seorang yang sporting, pasti tiada halangan untuk bekerja sendirian beberapa hari ini. 


" Macam mana kau boleh kenal dia ni?" Zahril bertanya lanjut saat tiada jawapan balas dari Afiq sebentar tadi. Afiq menguntum senyum. 


" Adalah" jawab Afiq ringkas seraya bangun dan masuk ke dalam. Sengaja membiarkan Zahril berteka-teki. Padan muka. Siapa suruh tak nak jawab soalan aku tadi. Getus hati Afiq sebelum menghilang di sebalik pintu. 




**************


" Assalamualaikum!" 

Afiq menjengah pintu rumah dan jendela yang tertutup rapat. Mengikut perkiraannya seperti tiada orang dirumah. Namun apa salahnya mencuba. Sekali lagi salam disahut, namun masih tiada jawapan. Afiq menarik nafas perlahan. Dia melabuhkan punggung di pangkin , menanti tuan rumah untuk pulang. 

Tidak sampai sesaat dia duduk, sebuah teksi berhenti betul-betul dihadapannya. Afiq tersenyum senang. Muncul Puteri Ina dan dua orang perempuan dari perut teksi. Berkerut dahi mereka melihat Afiq. Afiq mara dan memperkenalkan dirinya sebagai teman lama Puteri Ina. Jelas riak terkejut terpampang dari wajah kedua wanita itu. 

" Oh, takpelah. Jemput masuk, kita cerita dekat dalam" wanita yang tampak lebih berusia, mempelawa Afiq naik ke rumah. Sementara yang seorang lagi hanya menguntum senyum. Dia menjinjit beg plastik yang berisi barang keperluan dapur. 

" Saya tolong" Afiq bersuara dan mengambil beg plastik yang masih berada di atas tanah. Waliyah agak terkedu. Hendak melarang, lelaki itu sudah pun menjinjit barang dan melangkah bersama Mak Munah. 

" Terima kasih. Encik duduk depan ya. Nanti saya buatkan air" ujar Waliyah sopan. Malu pula tatkala lelaki segak itu masuk ke dapur rumah mereka yang masih berselerak dengan barang kenduri kelmarin. 

" Tak perlu susah-susah. Terima kasih" Afiq menguntum senyum. Dia memijak anak tangga dan naik ke atas rumah. Saat itu terpandang Puteri Ina yang sedang termenung dan memintal anak tudung dihujung tangga. 

" Duduk nak. Siapa namanya tadi?" mak Munah menyapa Afiq yang leka memandang anak saudaranya. Afiq tersenyum dan mengangguk. 

" Afiq makcik" 

" Oh, hah, Afiq. Kamu kenal Puteri ya?" 

" Kenal makcik. Saya dah lama cari dia. Merata tempat saya cari, tapi tak jumpa. Tak tahu pulak kampung dia dekat sini. Sebab  setahu saya rumah dia yang dekat Shah Alam tu je" 

" Itu rumah mak dia. Tak duduk sana dah Puteri ni. Macam mana boleh kenal?"

" Dulu, Puteri aktif dengan persatuan belia makcik. Kami selalu ke kampung orang asli. Puteri membantu dari segi pendidikan, saya pula kesihatan" 

" Oh, doktor lah ya?" 

" Ya saya , makcik" ucap Afiq sambil menguntum senyum. Sesekali dia mengerling Puteri yang leka dengan anak patung ditangan. Berbeza sungguh dengan Puteri yang dikenalinya sebelum ini. Namun, demi melihat wajah yang sekian lama dirindui itu, membuatkan hati Afiq tenang. 

 " Puteri ni baik budaknya. Cuma tu lah, dah bahagian dia nak jadi macam ni kan. Dia kemalangan dengan arwah mak dia, yang rumah Shah Alam tu. Makcik pun tak faham sangat penyakit ni. Doktor kata otak dia tak dapat nak berfungsi macam orang dewasa. Tu lah jadinya, macam budak-budak tak cukup sifat. Katanya sementara, tapi dah dua tahun ni. Entahlah , makcik berserah je"  

Afiq mengangguk faham. Mentally diasbled. Perkara yang jarang-jarang berlaku saat usia sudah menginjak dewasa. Penyakit ini kebiasaannya berlaku sejak lahir yang membawa sehingga besar. Afiq yakin, Puteri masih ada peluang untuk sembuh. Cuma waktunya, antara lama atau singkat. 

" Jemput minum" Waliyah muncul sambil menatang dulang berisi teh o panas dan pisang goreng. Puteri bangkit dan duduk di sisi Waliyah. Wajah Afiq dihadapannya dipandang lama. 

" Abang ni siapa kak Liya?" 

" Erm.. dia ... kawan akak" 

" Ooooo..... abang, nama abang sape? Abang pakwe kak Liya ea?" soal Puteri sambil ketawa kecil. Dia mencuit-cuit pinggang Waliyah. Afiq mempamer senyuman tawar. Walang hatinya saat Puteri langsung tidak mengenali siapa dia. 

" Puteri, apa cakap macam tu.Tak baiklah!" marah Waliyah. Dapat mengesan perubahan riak wajah lelaki dihadapannya saat itu. 

" Alah, boringlah kak Liya ni. Puteri nak pergi mainlah. Abang nak ikut tak?" soal Puteri lagi. Bersinar matanya mengarap lelaki itu mahu mengikutnya. Perlahan -lahan Afiq mengangguk. 

" Yeayyy! Jom abang!" tanpa menunggu Puteri terus menarik Afiq bangun dan keluar bersamanya. Waliyah menggeleng dan mengekori dari belakang. Bimbang Puteri melakukan perkara bukan-bukan. 


*****************


" saya tahu awak siapa" Waliyah memulakan berbicara. 

Masuk hari ini, hampir sebulan Afiq Bakhtiar menjadi tetamu tetap yang mengunjungi rumah mereka setiap hujung minggu. Petang Jumaat lelaki itu sudah terpacak di hadapan pintu rumah. Orang paling gembira pastinya Puteri Ina, kerana Afiq suka melayan dia bermain. 

" Err.. maksud awak apa?" tergagap Afiq mengeluarkan pertanyaan itu. Bimbang juga sekiranya Waliyah dapat mengesan siapa dirinya yang sebenar. Atau mungkin keprihatinan dan sifatnya yang terlalu mengambil berat soal Puteri Ina membuatkan Waliyah bisa menghidu sesuatu. 

Waliyah menguntum senyum. Dia membiarkan persoalan dari Afiq tergantung seketika. Pandangan dilempar pada Puteri yang sedang bermain galah panjang bersama anak kampung yang lain. Sifat Puteri begitu keanak-anakan , seolah umurnya masih budak-budak. Walhal, tahun ini usia Puteri mencecah 25 tahun. 

" Dulu Puteri selalu cerita pasal awak. Sebelum kemalangan tu berlaku" Waliyah membuka cerita, membuatkan Afiq terkejut. 

" Cerita apa ya?" 

Waliyah ketawa kecil. Nampak sangat Afiq sudah gelabah. 

" Saya tahu awak dengan dia bukan kawan biasa. Dah rancang nak bertunang pun, kan?" ujar Waliyah. Sekilas dia memandang wajah Afiq yang sudah berubah keruh. Afiq tersenyum hambar dan mengangguk perlahan. 

" Saya mati akal bila Puteri tiba-tiba hilang , sebulan sebelum pertunangan kami. Saya langsung tak tahu semua ni berlaku pada dia. Saya cuba cari dia, tapi tak jumpa. Saya tak tahu dia ada keluarga lain. Sebab selama kami kenal, dia tak ada cerita tentang saudara mara dia" 

" Mak memang tak bagi kami berhubung. Masalah adik beradik belah mak . Tapi saya dengan Puteri, contact je. Itupun dekat facebook. Masa kemalangan tu, mujurlah sepupu awak, Zahril tu yang ambil case tu. Bila dah tengok Puteri jadi macam tu, tak sampai hati nak biar dia. Kami jelah saudara yang ada nak jaga dia " 

Afiq mengangguk mendengar cerita Waliyah.Puteri yang masih leka bermain dipandang lama. Tumpang simpati dengan nasib yang menimpa Puteri. Andai sahaja kejadian malang itu tidak berlaku, mereka pasti sudah bergelar suami isteri kini. 

" Awak masih sayangkan dia?" Waliyah bersuara lagi memecahkan kesunyian yang tercipta seketika tadi. Afiq tersentak dengan soalan yang tiba-tiba. Tanpa ragu dia mengangguk. 

" Kasih saya pada Puteri tak pernah berubah. Saya sayangkan dia" jawab Afiq jujur. Benar, biar apapun keadaan Puteri kala ini, rasa cinta yang hadir buat pujaan hatinya itu masih utuh hingga ke saat ini. Hasrat ingin mengambil Puteri sebagai isteri masih dipendam dan akan disuarakan dalam masa terdekat ini. 


***********

" Assalamualaikum , Puteri" 

Afiq menguntum senyum menghampiri Puteri Ina yang leka bermain anak patung di atas pangkin. Puteri memalingkan wajah dan tersenyum ceria. 

" Waalaikummusalam, abang doktor!" 

" Puteri main apa sorang-sorang ni? Abang nak main sekali boleh?" 

Puteri berkerut dahi dan menggeleng laju. 

" Eiii abang doktor ni. Tak malu ea. Mana boleh main anak patung. Abang doktor kan lelaki. Apalah" 

Afiq ketawa kuat. Senang dengan sikap Puteri yang innocent. Setiap kali memandang wajah itu, hati Afiq berbunga bahagia. Tenang dirasakan saat memandang raut wajah Puteri. 

" Kalau macam tu, kita mainlah mainan yang abang boleh main" 

" erm... kita main....." Puteri berfikir seketika. Sekeliling halaman rumah dipandang. Kemudian dia menguntum senyum. 

" Hah, Puteri tau! Kita main kawin-kawin. Puteri suka kawin. Semalam Puteri kawin dengan Keli, lepastu hari tu kawin dengan Ayem. Hah, ramai Puteri kawin. Abang doktor nak kawin dengan Puteri tak?" 

Afiq menguntum senyum dan mengangguk. 

" Puteri nak kawin dengan abang. Kita kawin betul-betul nak?" Afiq bertanya pada Puteri, sekadar mahu menduga. 

" Nak, Puteri nak kawin dengan abang doktor. Kak Liya kata abang doktor sayang Puteri, nak jaga Puteri. Betul?" 

" Betul. Abang sayang dekat Puteri. Puteri bagi ke , abang jaga Puteri?" 

Soalan Afiq tidak bersambut, namun Puteri sudah melunjur kaki ke tanah dan menyarung selipar. Kemudian dia menarik tangan Afiq agar bangun. Afiq yang bingung hanya menurut. 

" Eh, nak pergi mana ni?" 

" Cepatlah abang doktor. Kita beli baju pengantin. Puteri nak kawin dengan abang doktor " lantang Puteri menyebutnya, membuatkan Afiq ketawa kuat. Namun, dia tidak menolak dan hanya menurut langkah Puteri yang semakin galak menarik tangannya.  


*********************


" Dah hilang akal agaknya kau ni, Fiq? Kau sengaja nak malukan mama kan?" Datin Zaidah mendengus geram. Sakit hati melihat  anaknya yang sedari tadi hanya diam dan mempamer wajah selamba. 

" Entah abang ni. Dah habis agaknya perempuan dekat KL ni nak dibuat isteri, budak terencat tu jugak yang dicari!" 

" Jaga mulut kau tu Ain. Hormat sikit, dia tu akak ipar kau!" Afiq bersuara keras. Wajah adik bongsunya dipandang tajam, seakan memberi amaran.Namun langsung tidak terkesan . Ain mencebik dan mempamer riak jelik. 

" Ah, jangan kau nak marah adik kau pulak. Dah memang budak tu terencat, gila!" 

" Mama!!" 

Afiq sudah melonjak bangun. Sudah tidak betah mendengar penghinaan dari mama dan adiknya. Semakin dibiar , semakin menjadi-jadi. Wajah mama dan adiknya dipandang tajam.Jika bukan difikirkan rasa hormat , pasti sudah lama tangannya naik ke wajah Datin Zaidah.  Satu keluhan berat dilepaskan. Dia mengucapa dalam hati, mengawal marah yang mendatang. 

" Dia isteri Fiq ma. Mahu atau tidak, dia tetap menantu mama, dan akak ipar kau, Ain. Tolonglah, hormat dia sebagai isteri Fiq. Fiq sayangkan dia. Dia tak gila ma. Puteri boleh sembuh, cuma perlukan masa" 

" Sudah. Selamanya aku tak akan terima menantu gila dan sewel macam dia tu. Buat cacat keturunan aku je!" Datin Zaidah mendengus keras sebelum bangkit dan melangkah naik ke bilik. Ain melakukan perkara yang sama, membuntuti mamanya dari belakang. Di tangga, mereka berselisih dengan Puteri. Hanya mampu menjeling, kerana Afiq berada di bawah. Jika tidak, pasti tubuh Puteri menjadi habuan pukulan mereka. 

" Abang doktor " Puteri menyapa Afiq yang termenung di sofa. Dia duduk bersimpuh di hujung kaki Afiq. Wajahnya manis dengan senyuman. Afiq yang baru tersedar akan kehadiran Puteri, menguntum senyum. 

"Sayang tak tidur lagi?" soal Afiq. Rambut Puteri yang lurus diusap perlahan. Puteri tersengih dan menggeleng. Hujung rambut dipintal beberapa kali. Tanda dia sedang risaukan sesuatu. Afiq sudah masak dengan sifat Puteri yang satu itu.

" Kenapa sayang abang ni? Sini, duduk dekat abang" Afiq menarik Puteri agar duduk diribaannya. Puteri hanya menurut.Wajah suaminya dipandang lama.

" Abang doktor, tadi kenapa marah mama?" 

Afiq terdiam. Tidak menyangka pertengkaran tadi didengari Puteri. Afiq menguntum senyum. Hati yang panas dibakar mama sebentar tadi, cepat sahaja terubat tatkala memandang seraut wajah manis isterinya ini. 

" Abang tak marah mama lah sayang. Sayang salah dengar kut" 

" Eii, abang doktor ni. Puteri taulah. Mak kalau marah Puteri selalu jerit-jerit macam tu. Kak Liya kata , mak marah sebab sayang Puteri. Lepas tu, Puteri kena minta maaf dengan mak . Berdosa kita buat mak marah, nanti tak boleh masuk syurga" 

Afiq tersenyum dan mengangguk. Pipi Puteri diusap dan dikucup mesra. 

" Ok sayang , nanti abang minta maaf dengan mama. Abang tak marah-marah lagi" 

Puteri tersenyum senang. 

" Bagus bagus. Abang doktor baik" ucap Puteri sambil tersengih. 

" Kalau abang baik, tak dapat hadiah ke?" 

" Ala, Puteri mana ada duit nak beli hadiah" Puteri sudah mencebik. Tangannya disilang tanda protes. Afiq ketawa kecil. 

" Abang tak nak hadiah mahal. Sini, kiss abang" Afiq mengunjuk pipinya untuk dicium Puteri sebagai hadiah. Puteri tersengih. 

" Oh, boleh-boleh. Nak kiss banyak-banyak pon boleh" dengan senang hati Puteri mengucup kedua belah pipi Afiq. Afiq menguntum senyum bahagia. Tubuh Puteri di peluk erat. Biar apapun orang luar mengata, dia tahu hatinya bahagia. 


**********************


" Sayang betul ni, tak nak ikut abang pergi klinik?"

Soalan yang entah kali ke berapa diajukan kepada Puteri Ina. Sebetulnya dia bimbang mahu membiarkan Puteri di rumah bersama mama dan adiknya. Entah mengapa dia tidak sedap hati.

Puteri tersengih dan perlahan mengangguk.

" Betul lah abang doktor. Berapa kali nak tanya? Puteri nak duduk rumah dengan mama , dengan adik Ain. Kan mama?" soal Puteri ceria. Lengan Datin Zaidah dipeluk erat. Datin Zaidah menguntum senyum terpaksa. Dalam hati, sudah beribu sumpah seranah yang dilempar pada budak terencat itu.

" Pergi jelah kerja Fiq. Mama boleh jagakan Puteri. Jangan risaulah"

Afiq mengeluh perlahan. Ikutkan hati , dia mahu mengambil cuti dan duduk dirumah, sehingga mama dan adiknya kembali ke Australia minggu hadapan. Dia bimbang Puteri akan diapa-apakan oleh mereka. Melihatkan penerimaan mereka terhadap Puteri beberapa hati ini, menambahkan gundah dan risau dihati Afiq.

" Abang doktor cepatlah , nanti lambat!" Puteri menarik tangan Afiq ke arah pintu kereta. Sekali lagi keluhan berat dikeluarkan. Afiq akur. Kedua belah pipi Puteri dikucup sebelum didaratkan pula ke dahi.

" Sayang take care ye. Kalau ada apa-apa, sayang tau kan nak call abang macam mana?"

" Tau, Puteri tau. Ni, tekan nombor satu. Puteri pandailah abang doktor"

Afiq ketawa kecil. Kepala Puteri diusap perlahan sebelum dia memboloskan diri ke dalam kereta. Tidak sampai beberapa minit kereta Afiq meluncur meninggalkan halaman rumah, Datin Zaidah dan Ain menunggu Puteri di muka pintu.

" Eh, sewel! Kau tercegat apa lagi dekat luar tu?? Masuk!!"

Puteri tersentak tatkala dijerkah sebegitu. Langkahnya mati. Dia berundur setapak dan ingin lari, namun Ain pantas menarik tangan Puteri. Dicengkam kuat dan Puteri diheret masuk ke rumah.

" Dah lama aku hilang sabar dengan kau ni, tahu tak?? Gatal nak berlaki , tak sedar diri kau tu gila, hah?? Bodoh!"

Datin Zaidah menunjal-nunjal kepala Puteri yang sudah teresak kuat. Semakin dia mendengar tangisan Puteri, semakin sakit pula hatinya. Ain memandang di sudut dinding. Puas melihat isteri kesayangan abangnya itu dibelasah mamanya. Biar , baru puas hatinya!

" Sakit mama, Puteri sakit... mama...." Puteri mengogoi menahan kesakitan. Terasa berbirat tangan dan badannya dilipas dengan tali pinggang milik Afiq. Tidak terdaya mahu melawan Datin Zaidah yang sudah menggila.

" Siapa mama kau, hah?? Memang nak mampos kau ni.Tunggu kau, aku bagi kau mampos. Tunggu!"

Datin Zaidah meninggalkan Puteri yang kesakitan dan berlalu ke dapur. Ain tersentak. Apa pula perancangan mamanya ini. Tidak boleh dibiarkan. Bimbang mama memang berniat mahu membunuh Puteri. Pantas langkah diatur ke dapur mengekori mamanya.

" Ab...abang doktor.... Puteri sakit..." terketar-ketar bibir Puteri mengucapnya. Telefon bimbit yang diberikan padanya oleh Afiq dihidupkan. Kemudian pantas tangannya menekan "speed dial" yang telah diset oleh Afiq. Beberapa kali deringan, talian masih tidak bersambut.

" Mama, jangan buat kerja gila! Mama nak buat apa dengan parang tu??" Ain mengejar Datin Zaidah yang bergerak pantas ke ruang tamu. Memang dia sudah tidak waras. Dia mahu menamatkan riwayat perempuan terencat tidak sedar diri itu.

" Aku nak bunuh dia. Mana dia?? Mana kau pergi hah??"


************


Puteri berteleku di lantai . Tubuhnya menggigil ketakutan. Bayangan Datin Zaidah yang mencerlung marah memandangnya membuatkan Puteri bertambah takut. Dia mengengsot dan mengecilkan diri dihujung katil. Nombor milik Afiq ditekan berkali-kali, namun tidak bersambung. Airmata Puteri tidak berhenti mengalir. 

" Kat sini kau sembunyi rupanya. Memang bodohlah kau ni. Nak main nyorok-nyorok dengan aku ya? Sini kau, sini! Dasar sewel, gila! saja kau nak naikkan darah aku ya? Sini kau!" 

Puteri tersentak dengan kemunculan Datin Zaidah yang tiba-tiba. Dia meronta kuat saat rambutnya ditarik kuat wanita itu. Kesakitan yang dirasai tidak terbanding dengan ketakutan yang merajai hatinya kini. Dia tidak mahu mati dibunuh Datin Zaidah. Rontaan demi rontaan , akhirnya Puteri berjaya meloloskan diri. Pantas Puteri berlari keluar dari bilik. 

" Puteri!!!!!" 

Ain berteriak kuat saat melihat tubuh Puteri bergolek jatuh dari tangga. Ain terpana. Tidak, bukan dia yang menolak Puteri. Puteri yang tiba-tiba berlari menuju ke tangga dan hampir bertembung dengannya. Ain hanya sempat mengelak, namun tidak sempat menarik tubuh Puteri dari jatuh. 

" Ya Allah! Puteri!" Afiq meluru mendapatkan isterinya yang terdampar kaku di hujung tangga. Kepala isterina dipangku. Rawan hatinya melihat wajah Puteri yang berdarah dan luka di sana sini. Airmata lelakinya tumpah dengan tidak semena. 

" Ab....abbang... Ain tak sengaja bang... Ain... tak..." 

Menggigil lutut Ain saat menghampiri abangnya. Mencerlung mata Afiq memandang wajah adik bongsunya itu. Tanpa banyak bicara , tubuh Puteri dicempung. Ain meluru dan membantu. Usai, Afiq memecut keretanya ke hospital. Hanya satu dalam fikirannya.Puteri! 


**********************

Afiq menapak lemah menuju ke wad icu yang menempatkan isterinya. Wajah Puteri yang membengkak dan kepala berbalut membuatkan hati Afiq dipagut sayu. Luluh hatinya melihat isteri tercinta yang selalunya ceria menyambut kehadiran dia, kini terbaring kaku. 

" alhamdulillah, isteri kau dah melepasi tahap kritikal. Tapi kes macam ni, kau pun tahu. Chance untuk dia sedar dalam masa terdekat ni, aku tak berani nak cakap. Sabarlah Fiq, banyakkan doa dan mohon pada Allah. InsyaAllah. Sokongan dari kau yang diperlukan saat macam ni, biar dia kuat dan bertahan"  terngiang kata-kata temannya yang merawat Puteri. 

Afiq memanggu kepala. Airmata hiba sekali lagi gugur. Seumur hidup, inilah kali pertama dia benar-benar tenggelam dalam kesedihan. Afiq kesal kerana semua ini terjadi. Dia gagal menyempurnakan janji untuk menjaga Puteri dengan baik. 

" Abang minta maaf sayang. Sayang jangan tinggalkan abang ya. Abang perlukan sayang" bergetar suara Afiq dengan airmata yang masih merembes keluar tidak henti. Tangan Puteri dielus perlahan. Kemudian dibawa ke bibir dan dikecup lembut. 

" Abang akan tunggu sayang. Abang ada, sayang kuat ya" 

Afiq bangkit dan menuju ke hujung wad. Mengangkat air wuduk dan kembali duduk di hadapan Puteri. Yaasin di capai dan dibaca. Bacaannya terhenti-henti , dek perasaan hiba yang menggunung. Setiap kali dia menyambung bacaan, wajah sengsara Puteri terlayar di matanya. 

" Astagfirullahaladzim. Ikhlaskan dan redhakan  hatiku menerima dugaanMu,Ya Allah"  Afiq mengucap dalam hati saat rasa hiba tidak mampu dibendung. Wajahnya tunduk menekur lantai. Airmata yang sudah kering sebentar tadi, gugur kembali.


" Assalamualaikum" 

Afiq menghentikan bacaan Yaasin ditangannya saat pintu wad dikuak dari luar. Dia bangkit dan menjengah. Seorang jururawat berdiri di muka pintu dan melempar senyum pada Afiq. Mengkabarkan bahawa keluarga Puteri berada diluar. Afiq mengangguk dan mengucap terima kasih. Puteri dipandang sekilas sebelum langkah diatur keluar dari wad ICU. 

" Assalamualaikum, mak. Dah lama sampai?" Afiq menyalami tangan Mak Munah , ibu saudara Puteri. Pada Waliyah, dia sekadar berbalas senyuman. Ada beberapa orang lagi disitu, tapi Afiq tidak mengenalinya. Sekadar bersalaman dan berbalas senyuman juga. 

" Baru sampai Fiq. Ni, tok Ngah, ketua kampung dengan anak dan isteri dia.Mak tumpang kereta dia ke sini" Mak Munah menjelaskan. Afiq mengangguk faham. 

" Puteri macam mana, Fiq.Ada perubahan?" soal Waliyah. Pertanyaan itu membuatkan wajah Afiq berubah keruh. Perlahan dia menggeleng. Redup matanya memandang wajah Waliyah dan mak Munah. 

" Fiq minta maaf mak. Fiq gagal jadi suami yang baik. Puteri derita kerana Fiq mak" ucap Afiq sayu. Mak Munah menggeleng dan mengusap bahu Afiq perlahan. 

" Dah, jangan cakap macam tu. Allah tu Maha mengetahui. Ada hikmahnya semua ni berlaku Fiq. Insya Allah, kita sama-sama bantu Puteri" 

Afiq sekadar mampu mengangguk. Apa lagi yang boleh dikatakan. Sejauh mana penyesalan yang bertandang sekalipun, masa tidak boleh diputarkan semula. 

************************

" Kenapa kamu halau dia Puteri? Afiq tu suami kamu, berapa kali mak nak cakap?" geram Mak Munah melihat Puteri yang masam di hujung jendela. Fikirnya, melayani karenah Puteri sewaktu anak itu belum pulih, lebih mudah daripada melayan Puteri yang sekarang ini. 

" Puteri tak boleh terima lah mak. Kalau betul Puteri isteri dia, kenapa Puteri langsung tak boleh ingat. Dah tu dia tu, asyik nak bersayang-sayang dengan Puteri, rimaslah!" 

Waliyah menggeleng kepala. Sudah berbuih mulutnya menasihati Puteri. Dahulu pertumbuhan otaknya terencat, sekarang masalah lain pula yang timbul. Sudah sihat walafiat begini, suami sendiri pula tiada dalam memorinya. Orang lain boleh pula dia ingat dengan jelas. 

" Kamu ni betullah Puteri. Gambar kawin dah tunjuk, sijil nikah dah tunjuk, kamu nak apa lagi? Berdosa tahu tak layan suami macam tu. Tak cium bau syurga kamu nanti" ucap Mak Munah. Hilang sudah sabarnya dengan sikap Puteri. Mujur Afiq itu baik orangnya. Tidak melenting dan akur sahaja dengan penerimaan Puteri padanya. 

" Eishh, mak ni. Tak support Puteri langsung, orang tu pulak yang disebelahkan. Boringlah mak ni" Puteri memuncungkan mulutnya tanda protes. Langkah diatur laju turun ke bawah. 

" Hah, buat lagi perangai. Nak ke mana pulak tu? Kamu tu isteri orang. Eloklah tu merayap  tengah hari buta macam ni!" 

Laungan Mak Munah langsung tidak dihirau. Langkah diayun laju ke tengah bendang, jalan pintas ke pondok di hujung sawah. Hampir setiap hari dia akan ke sana , untuk bersembunyi dan melarikan diri dari Afiq Bakhtiar. Bosan dan rimas dengan kehadiran lelaki itu hampir setiap hari ke rumahnya.

" Tak faham bahasa agaknya. Eishh, macam manalah aku boleh kawin dengan lelaki macam tu. Memanglah dia hensem, tapi perangai tu yang aku tak berkenan. Suka hati nak peluk aku, pegang aku sana sini. Ingat aku ni batang tunggul ke?"

Puteri mengomel saat melabuhkan punggung di lantai pondok. Kaki yang pada mulanya dibiar berjuntai ke bawah, dibawa naik dan bersila. Hujung tudungnya dipintal kasar. 

" Eh, tapi kan dia laki kau . Apa salahnya nak pegang pun, kan? Hermmm..." 

" Tapi tetap tak boleh! Tak berkenan betul lah. Aku dah cakap tak nak, tapi tak faham bahasa. Makin aku lari, makin menjadi-jadi perangai dia" 

" Siapa yang suruh lari, memanglah abang kejar" 

Terlompat tubuh Puteri saat disapa satu suara dari belakang. Bagai hendak tercabut jantungnya akibat terkejut. Pantas dia berpaling dan memandang ke dalam pondok. Entah bila lelaki itu baring di situ, dia tidak sedar. Puteri mengetap bibir geram. Dia bingkas bangun. Apa lagi, lari lah! 

" Hah, not this time, sayang" Afiq terlebih dahulu menarik tangan Puteri membuatkan dia hilang imbangan dan jatuh dalam pelukan Afiq. Afiq tersenyum menang. Tubuh Puteri dipeluk erat, enggan dilepaskan. 

" Eiii, apa peluk-peluk orang ni! Lepaslah!" Puteri meronta. Namun sekadar apa sahaja rontaannya itu dibandingkan dengan pelukan tangan sasa Afiq. Afiq ketawa kecil. 

" Eh, sayang yang jatuh dekat abang kan. Maknanya sayang nak abang peluk lah kan. Bukan salah abang" Afiq giat mengusik. Puteri menjeling Afiq geram. Seakan mahu menangis pula saat adengan berpelukan itu menjadi tontonan beberapa penduduk kampung yang melintasi mereka. 

" Pleaselah. Orang tengoklah, awak tak malu ea??" 

Afiq tersengih dan menggeleng. 

" Nope. Buat apa nak malu, abang peluk bini abang" Afiq masih tidak mahu mengalah. 

" Awak, pleaseeeeee.............." sudah tiada jalan lain selain merayu. Tahap malu kala ini sudah berada di tahap kuasa lapan!

" Ok, abang lepaskan. Tapi dengan syarat, sayang ikut abang jalan-jalan dua hari ni. Tak boleh lari!" 

" Awak ni , bagi syarat ke memaksa ni?" Puteri bersuara geram. Apa pilihan yang dia ada pun untuk menolak. Tak kan mahu berpelukan sepanjang hari begini.

" take it or kita duduk je macam ni sampai petang" ugut Afiq. Terangkat keningnya seakan dapat merasai kemenangan. Puteri mendengus geram. Mahu tidak mahu dia terpaksa setuju dengan permintaan Afiq.


************************


" Sayang, jomlah turun , pergi pantai ke, shopping ke. Tak kan nak memerap je dalam bilik ni" AFiq memujuk Puteri yang masih berselubung di bawah comforter. Puteri menggeleng laju dan menarik comforter menutup seluruh kepalanya.

" Sayangggggggg................ jomlahhhhhhhhhhhhhhh"

Comforter ditarik kuat, sekejap sahaja sudah terlorot dari tubuh Puteri yang masih tersarung baju tidur. Puteri menjeling geram suaminya. Rasa mengantuk sudah lama hilang, cuma dia malas mahu melayan Afiq. Dua hari ini naik letih kakinya berjalan ke sana sini , menurut kehendak lelaki itu. Mujur destinasi percutian hanya sekitar Melaka, kurang satu jam perjalanan dari kampungnya.

" Malaslah, penat tau tak?" sungut Puteri. Dia bangun dan bersila malas di atas katil. Rambut yang kusut dielus dengan jari. Afiq melakukan perkara yang sama. Rambut isterinya dielus perlahan.

" Boringlah sayang, duduk bilik je. Esok nak balik dah"

" Awak nak jalan, pergi jelah sorang. Saya duduk bilik"

" Lah, kalau macam tu baik abang datang sorang je" Afiq seakan merajuk. Tubuhnya disandar pada kepala katil sementara sebelah tangan masih lagi melurut rambut Puteri yang lembut. Puteri hanya membiarkan. Buat penat mulut jika menegah, suaminya itu jenis tak makan saman!

" Dah tau macam tu, sapa suruh heret saya datang sini. Penat tau tak, melayan awak. Pergi sana sini. Awak dapat apa paksa-paksa saya macam ni. Awak buatlah apa pun, saya tetap macam ni jugak. Awak ingat saya happy ke buat benda yang terpaksa saya buat?" Puteri terus-terusan membebel tanpa sedar Afiq sudah berubah wajah.

" Terpaksa?" Afiq menyentuh bahu Puteri agar menghadapnya.  Badannya ditegakkan.

" So, selama dua hari ni, sayang terpaksa lah ye buat semua tu?" serius pertanyaan Afiq. Puteri mengetap bibir. Sedar bahawa dia sudah tersalah cakap.

" Err.. tak.. bukan macam tu.. saya...

" Its ok. Abang minta maaf kalau abang paksa sayang buat benda yang sayang tak suka. Takpelah, sayang rehat, abang nak keluar kejap" Afiq mematikan bicara. Kemudian terus bangkit dari katil dan menghilang di balik pintu chalet. Tiada kucupan di dahi Puteri, seperti selalu yang dilakukannya setiap kali mahu keluar.

'alamak, dia merajuk ke tu?' getus hati kecil Puteri. Bibirnya diketap risau. Hujung rambut dipintal kasar. Tidak tahu apa yang patut dilakukan. Mahu ikut Afiq keluar dan minta maaf atau biarkan saja? Puteri bungkam. Telefon bimbit di sisi katil dicapai. Dia perlukan seseorang untuk meluahkan rasa dan meminta nasihat. Dari siapa lagi, kalau bukan Waliyah.

" Dah tu, tak geti-geti nak pujuk, minta maaf? Takkan itupun kak Liya nak ajar Puteri"

" Alah akak ni. Puteri mana pandai nak pujuk-pujuk ni. Geli lah!"

" Bertuah punya budak. Tak baik tau Puteri. Tak ingat ke mak cakap apa? Tak cium bau syurga nanti"

"Akak dengan mak sama je tau. Makin buat Puteri serba salah. Yelah-yelah, nanti orang pergi pujuk. Boringlah akak ni"

" Hahahaha.... alah, boring konon. Ada problem cari kak Liya jugak. Dahlah, akak nak masak ni. Korang jangan gaduh lama-lama. Mak tu dah lama tunggu nak cucu tau. Usaha lebih sikit"

" Akak!!!!" teriak Puteri kuat. Wajahnya diserbu malu. Ada pula hal itu yang dibangkitkan . Orang tengah risau hal lain ni. Tak patut betul Waliyah ni.


************************************


" Assalamualaikum" 

Sapaan Puteri mengejutkan Afiq yang sedang duduk berbual bersama beberapa orang lelaki. Serentak mereka menjawab salam.Afiq menguntum senyum dan bangun, berdiri di sisi Puteri.

" Sayang buat apa kat sini? Kenapa tak call abang je?" 

Soalan Afiq hanya dijawab dengan sengihan. Namun dalam hati sudah memberontak. Susah payah dia berfikir dari tadi, bimbang lelaki itu sedang marah atau merajuk, rupanya elok sahaja berbual di sini. Ikutkan hati mahu sahaja dia berpatah balik ke chalet, namun alang-alang dah turun, lebih baik laksanakan tujuannya , meminta maaf pada Afiq.

" Bang, saya minta diri dulu. Nak jalan dengan isteri saya. Insya Allah malam ni saya join abang ye. Assalamualaikum" Usai bersalaman, Afiq menarik Puteri melangkah bersamanya. Mereka beriringan ke berjalan di gigi air. 

" Ingatkan sayang nak memerap je dalam bilik?" 

Puteri mencebik. Tangan yang digenggam Afiq dilurut perlahan. Namun hanya seketika. Afiq kembali menarik tangannya , digenggam erat. 

" Sayang bukan turun nak pujuk abang ke?" duga Afiq. Puteri menjeling tajam. 

" Perasan!" 

Afiq ketawa kuat mendengar jawapan isterinya. Pipi Puteri dicuit perlahan.Geram dengan wajah isterinya yang comel ketika marah. 

" Duduk sana jom" Afiq menarik Puteri duduk di satu sudut pantai yang agak redup. Puteri hanya menurut. Seketika sepi antara mereka tanpa bicara.Puteri mengerling Afiq yang leka melempar pandangan jauh ke tengah laut.

" Awak..... erm... awak marah ke , apa yang saya cakap dekat bilik tadi?" soal Puteri teragak-agak.

Afiq memandang Puteri sekilas. Kemudian dia menguntum senyum.

" Marah sikit je. Tak banyak"

" Boleh pulak macam tu. Err.. marah lagi ke ni?"

Afiq menggeleng.

" Kan dah cakap, marah sikit je. Sekarang dah ok. Even sayang tak minta maaf, marah abang dah terubat bila sayang turun cari abang"

Tergamam Puteri saat Afiq menarik tangannya dan dibawa ke bibir. Tangan mulus itu dikucup perlahan , kemudian di bawa ke pipi. Saat ini , tak perlu pakai pemerah pipi pun, pasti wajah Puteri sudah merah akibat malu. Pantas ditarik tangannya kembali. Afiq ketawa kecil dengan respon isterinya.

" Erm.. maaf, saya tak patut cakap macam tu. Sebenarnya takdelah terpaksa sangat. Saya happy jugak dapat jalan-jalan. Boring terperap dalam rumah je"

" Lah, ingatkan happy dapat honeymoon dengan abang"

" Err....."  'aduh, salah cakap lagi ke? . Aku ni pun satu, ape susah sangat nak cakap , saya happy dengan awak' bisik Puteri dalam hati.

" Haha.. isteri abang ni. Comel tau buat muka blur macam tu. Geram abang" Afiq mencuit pipi Puteri. Kemudian dia menguntum senyum.

" Dahlah, jom pergi breakfast, lepas tu kita pergi shopping. Malam ni kita join BBQ abang tadi tu"

" Ok!" Puteri tersenyum senang. Memang dia ada cadangan untuk BBQ, tapi malu untuk nyatakan pada Afiq. Tambahan , hanya mereka berdua, tak seronok rasanya.


**************


" Sayang kenapa duduk sini sorang-sorang ni?" 

Puteri tersentak. Hilang lamunannya. Airmata yang gugur diseka perlahan. Afiq berkerut dahi. Dari cahaya unggun api dia dapat lihat ada airmata yang membasahi pipi mulus isterinya. Pantas jejari kasarnya menyentuh pipi Puteri. 

" Kenapa menangis ni, sayang tak sihat ke? Kita balik bilik nak?" ujar Afiq risau. Dia sudah mahu bangkit, namu Puteri menghalang. Kepalanya digeleng tanda dia baik-baik saja. Afiq mengeluh perlahan dan kembali duduk di sisi Puteri. Tangan isterinya di elus perlahan. 

" Saya tak apa-apa. Jangan risau k. Cuma rindu dekat mama" ujar Puteri sayu. Entah mengapa hatinya jadi rindu pada arwah mama. Airmata yang kembali bergenang, dibiarkan gugur tanpa diseka. 

" Sayang ni dari dulu tak pernah berubah. Suka pendam sorang-sorang. Apa guna abang jadi suami, kalau tak boleh nak pinjamkan bahu abang ni. Sini" Afiq menarik Puteri ke dalam dakapannya. Tubuh Puteri dielus perlahan. Malam ini Puteri tidak menolak. Dia benar-benar perlukan tempat untuk meluahkan rasa. Tangisan dilepaskan semahu-mahunya. 

" Puteri rindu mama.. rindu sangat-sangat..." ngogoi Puteri. Sayu Afiq mendengarnya. Andai sahaja dia mampu bawa mama Puteri ke hadapan mereka kini, pasti dia akan lakukan itu. Tapi siapa yang dapat menghalang takdir Allah. Mama lebih disayang Allah. 

" Syhhh... tak salah kita nak menangis. Tapi jangan terbawa-bawa dengan kesedihan. Kalau sayang rindu mama, doakan dia" Afiq cuba menenteramkan Puteri. Puteri mengangguk perlahan. Seketika mereka berdakapan dan hanya tangisan Puteri memainkan peranan. 

" feeling better?" soal Afiq saat tangisan Puteri kian reda. Puteri mengangguk dan meregangkan pelukan. Wajahnya dipaling ke arah lain. Malu pulak nak bertentang mata dengan Afiq. Tadi feel sedih, takpelah. Tidak semena wajahnya diserbu malu. 

" Lah, tak nak pandang abang dah?" Afiq mengusik. Pinggang Puteri dicuit perlahan.

" aaa. janganlah!" halang Puteri saat Afiq ingin mencuit lagi. Bukan Afiq tidak tahu dia ni keturunan penggeli. Pantang  bila bahagian pinggang dicuit atau digeletek. Afiq ketawa besar, semakin galak tangannya menggeletek pinggang Puteri. 

Hahahaha. janganlah awak.. geli!.. awakkkkk!" rayu Puteri. Sudah tidak mampu menahan ketawa akibat kegelian , hingga berair matanya. 

" Abang!" terpancul sebaris ayat tanpa sedar. Afiq terpana dan berhenti mengusik isterinya. Keningnya diangkat. Salah dengar ke?Puteri panggil dia abang?

" Apa sayang kata?" soal Afiq mendapatkan kepastian. Puteri mengetap bibir. Macam mana boleh tersalah panggil ni? Adesssss~ 

" Err.. kata apa? Mana ada pape" 

Afiq ketawa kecil. Wajahnya didekatkan pada Puteri dan sepantas kilat pipi mulus isterinya dikucup mesra. 

" Thanks sayang! Tunggu jap ea, abang ambil makanan" Afiq sudah bangun dan melangkah. Terdiam Puteri tidak mampu membalas. Pipi yang baru dikucup sebentar tadi disentuh. Entah kenapa hatinya jadi berdebar. Malu pun ada.. huhu.... 


**********************


" Sayang nah" Afiq kembali dengan sebelah tangan menatang pinggan, dan sebelah lagi memeluk gitar. Puteri berkerut dahi, namun hanya diam dan menyambut huluran Afiq. Afiq melabuhkan punggung di sisi Puteri. Tali gitar dipetik bersahaja. 

" Pandai main ke?" 

Afiq memandang Puteri sekilas. Kemudian dia tersenyum dan mengenyit mata. 

" Suami sayang ni serba boleh tau. Nak abang nyanyi tak?" 

" Hermmm.. takpelah, entah sedap ke tak suara tu. Buat saya hilang selera je nanti" ucap Puteri tidak menunjukkan minat. Ayam dicuit sedikit dan dimasukkan ke mulut. Sedap, mungkin kerana ada salutan madu. 

" Belum dengar belum tahu. Abang nyanyi lagu feveret sayang ea" Afiq mulai memetik gitar. Dari rentak awal Puteri sudah dapat mengagak lagu apa yang dimainkan. 

Baby you light up my world like nobody else
The way that you flip your hair gets me overwhelmed
But when you smile at the ground it aint hard to tell
You don't know
Oh Oh
You don't know you're beautiful


" Sayang ingat tak first time abang nyanyi lagu ni, bila?" 

Puteri diam seketika, kemudian dia menggeleng. Seingat dia , tak pernah mendengar Afiq menyanyi lagu itu, namun alunan sebentar tadi benar-benar menusuk dalam hatinya. Ada rasa suka dan selesa mendengarnya. Afiq mengukir senyum. Tali gitar dipetik lagi, kali ini hanya sekadar melodi tanpa lagu. 

" kali pertama abang nyanyi.. ermm.. masa kita ke Sarawak. Suasananya macam ni jugak, sayang duduk sorang-sorang depan unggun api. Sebab lagu ni , sayang jatuh cinta dengan abang tau" 

" Heh, really?" Puteri seakan tidak yakin. Afiq ketawa melihat reaksi isterinya, kemudian dia mengangguk. Puteri mencebik. Namun tidak dinafikan, suara Afiq memang sedap. Macam Encik Mimpi , artis youtube yang menjadi kegilaan ramai wanita. 

" Abang rindukan Puteri yang dulu. Manja, senyum je bila dengan abang" suara Afiq begitu perlahan , namun dapat didengari Puteri. Puteri mengeluarkan keluhan berat. 

" Bukan saya minta nak hilang ingatan pada awak. Dah takdir Allah saya nak jadi macam ni" 

Sayu Puteri menuturkannya. Semua orang seakan ingin menyalahkan dia atas layanan yang diberikan terhadap Afiq. Mereka tidak berada di tempatnya, pasti tidak merasakan keperitannya. Ingat mudah ke nak terima orang yang tak pernah ada dalam ingatannya walau sebagai kawan. Inikan pula suami. 

" Its ok. Abang tak pernah salahkan sayang" ucap Afiq tulus. Kepala Puteri diusap perlahan dengan segarit senyuman dibibir. Begitu sifat Afiq. Senyuman itu seakan tanda yang dia ok. 

" Sampai bila awak nak tunggu saya?" 

" Selamanya, jika diizinkan Allah, hingga akhir hayat abang. Kasih abang pada sayang tak kan pernah berubah" 

" Walaupun itu akan buat awak semakin sengsara? Awak tak penat ke, saya tak boleh bahagiakan hati awak. Saya takut makin lama awak tunggu saya, main awak makan hati dengan sikap saya" 

Afiq tersenyum lagi. Petikan gitar berhenti. Diletakkan di sisinya. Tubuh dialih, menghadap Puteri. Tangan isterinya digenggam dan dielus perlahan. 

" Tengok sayang je pun abang dah bahagia. Sayang marah, merajuk, semua tu comel dimata abang. Selama empat tahun ni, banyak dugaanya yang abang hadapi untuk bahagia dengan sayang, tapi abang tetap tunggu. Sebab abang yakin, pertemuan demi pertemuan yang Allah atur, menunjukkan jodoh kita dekat. Abang tak akan beralah meraih cinta sayang, kecuali kalau Allah ada aturan yang lebih baik buat kita" 

" Tapi saya tak mampu .. ingatan saya pada awak tak ada.. kosong. Macam mana saya nak yakin, yang saya pernah cintakan awak sebelum ni?" 

" Abang tak paksa sayang pun suruh ingat abang.Why dont kita start dari mula. Kenal balik hati budi masing-masing.Kita start bercinta balik... hermm.. best jugak kan?" 

" Bercinta balik. boleh ke macam tu?" 

" Boleh , kenapa pulak tak boleh. Kita bercinta versi halal" ujar Afiq sambil tersengih. Puteri kerut dahi. 

" Bercinta versi tak halal macam mana pulak?" 

Tak halal tu, bercinta kapel-kapel tu. Mana boleh pegang-pegang. Abang versi halal, boleh je nak pegang sayang, kan?nak manja lebih-lebih pun boleh" 

" Eiii. mengada, gatal! " Puteri menjeling Afiq geram. Afiq tertawa senang. 

" So , setuju tak sayang?" 

" Ok, kita start dari mula. Kita kenal-kenal balik . Ok setuju!" Puteri mengangguk dan menghulurkan tangan ingin berjabat. Afiq geleng kepala , namun hanya menurut. Fikirnya hanya sekadar berjabat tangan, namun sebaliknya. Puteri tunduk dan mengucup tangannya hormat. 

" First time sayang cium tangan abang " ucap Afiq terharu. Tanpa menunggu dahi Puteri dikucup penuh kasih. Dibiarkan bibirnya melekap lama di dahi Puteri, cuba menahan rasa sebak yang menghurung diri. Bersyukur dengan penerimaan positif Puteri hari ini. 

" Ermm.. awak kan suami saya. Isteri kena hormat suami, kan?" Puteri tersengih. Namun hanya seketika memandang wajah Afiq, pantas wajahnya dilarikan saat mata mereka bertembung. Malu pulak nak pandang lama-lama. 

" So... sayang dah terima yang abang ni suami sayang kan? Bila nak ubah panggilan 'awak' tu?" 

" Eh, lupa ke. Kita kan nak start dari awal. Nanti saya dah biasa barulah saya panggil panggilan hormat tu" 

Afiq mencebik. 

" Boringlah sayang ni" suara Afiq berbaur rajuk. Puteri tersengih nakal. Comel pulak bila melihat suaminya merajuk kala ini. Puteri dah pun fikir semasak-masaknya. Petang tadi pun dah puas dia terima ceramah dari Waliyah. Tak jadi apa jika selamanya dia melarikan diri dari kenyataan. Lebih baik begini, mulakan dari awal. 

" Baiklah abang doktor. Puteri panggil abang doktor ya" 

Afiq terkejut. Wajah Puteri dipandang. 

" Sayang ingat panggilan tu?" Namun gelengan Puteri menghampakan Afiq. 

" Petang tadi, masa abang doktor tidur, kak Liya datang. Puteri bual panjang dengan dia. Dia yang cerita semuanya" 

" Ohhh............." 

" Kak Liya kata abang doktor ni baik. Masa Puteri sakit dulu, abang doktor hari-hari datang, teman Puteri main ye? Masa Puteri terlantar, abang doktor jaga Puteri setiap masa. Baiknya abang doktor Puteri ni" ucap Puteri sambil tersenyum senang. Afiq ketawa kecil. Pipi Puteri dicuit geram. 

" Nakal isteri abang ni ya. Dulu panggil abang doktor takpelah, masa tu sayang comel. Sekarang janganlah panggil macam tu, pelik lah abang dengar"

" Apa yang peliknya, comel je Puteri dengar. HAHAHAHA" Puteri ketawa galak. Tak dapat bayangkan bagaimana dahulu sikapnya terhadap Afiq. Pasti keanak-anakkan. Tengok gambar yang ditunjuk Waliyah pun, Puteri sudah ketawa terbahak-bahak.

" Nak kena sayang ni, kan" Afiq mencuit pinggang Puteri. Geram. Puteri menjerit perlahan menahan geli. 

" Aaaaa.. ok ok.. surrender .. abang janganlahh.. ok.. tak main-main lagi.. abangggggg.....tak nak..." semput Puteri menahan cuitan Afiq. Afiq memegang perut menahan gelak melihat aksi isterinya. 

" Tau takut. Nakal lagi sapa suruh" Afiq menarik Puteri dalam dakapannya. Pipi Puteri dikucup lama. Puteri senyum malu. Aishhh. abang doktor ni, gatal betul! 

" Suka hati nak cium-cium orang" ujar Puteri sambil menjeling suaminya. Afiq mempamer wajah selamba. Gitar dicapai dan dipetik perlahan. 

" Nak lagu apa?" soal Afiq. Puteri diam seketika. 

" Ermmm... suka hatilah. But make sure, lagu tu boleh buat Puteri jatuh cinta tergolek-golek dekat abang doktor" ujar Puteri sambil tersengih. Afiq ketawa dan menggeleng kepala. Ada saja modal isterinya ini , membuatkan hatinya senang. Perlahan gitar dipetik, mengalunkan melodi. 

Dapatkah selamanya kita bersama
Menyatukan perasaan kau dan aku
Semoga cinta kita kekal abadi
Sesampainya akhir nanti selamanya

Tentang cinta yang datang perlahan
Membuatku takut kehilangan
Ku titipkan cahaya terang
Tak padam di dera goda dan masa

Puteri memejam mata , menghayati lagu 'tentang rasa' yang dialun oleh Afiq. Bait liriknya membuatkan Puteri mengukir senyum. Mungkin kala ini dia masih keliru dengan perasaan hatinya terhadap Afiq Baktiar. Namun dia yakin, rasa cinta ini akan bercambah dengan restu dari Allah. Tiada cinta yang lebih menyakinkan dari cinta Rabbul Izzati dan didatangkan seiring dengan cinta pada suami yang ditakdirkan buat diri ini. InsyaAllah. Amin Ya Rabbal Alamin.


P/S : kalau ada typing error, harap dimaafkan. Sebab taip terus tak berhenti ni, so rasa malas nak edit tu membuak-buak.. hoho... maaf juga if ceritanya meleweh.. hukhuk..btw, watak puteri insprised by cerekarama saleha tv3.  okbai.

No comments:

Post a Comment

♫ assalamualaikum ♫

terima kasih sudi komen.
nanti datang komen lagi ea.