Papa, I Love You Edisi Ramadhan


Adam memicit kepalanya perlahan. Daripada tidak ada sejarah migrain dalam hidupnya, hari ini dia benar-benar migrain. Runsing memikirkan isteri tersayang yang menyimpan rajuk dengannya hingga berhari-hari.

Razlan sekadar ketawa melihat keadaan sahabatnya itu. 

" Rileks lah bro. Nanti durian ke mana, kau ke mana," Razlan berseloroh. Kusut benar riak wajah Adam. Mana tidaknya, isteri kesayangan mengidam yang pelik-pelik.

" Kau boleh gelak lagi. Aku tengah sakit kepala ni, bro," ucap Adam. Tubuhnya disandarkan di kerusi. Mana dia nak cari ni?

" Melambak lah bro durian merah tu . Kau yang tak pandai cari kot," 

Adam menghela nafas perlahan. Kalau setakat durian merah biasa, bukanlah menjadi masalah pun. Tapi Iman mengidam durian merah asli dari pohon di Sabah. Asli dari Kuala Penyu, Sabah. 

" Ni semua gara-gara Cipol lah. Pergi update dekat blog dia pasal durian tu. Dah tak memasal isteri aku mengidam. Mana nak cari bro time macam ni. Bukan musim dia. Hishh pening!" 

Razlan geleng kepala, ketawa lagi. Salah sendiri, salahkan Cipol pula. Cipol, rakan sekerja mereka yang baru 3 bulan menyertai anak syarikat Wisma Bakti. Anak kelahiran Sabah itu memang fav food fiesta. Blog dia memang penuh dengan entry tentang makanan seluruh dunia. 

" Tak ada guna kau kusut-kusut. Sekarang ni semua dihujung jari. Satu klik, semua dapat. Ni, aku baru tanya kawan-kawan aku dekat twitter. Depa bagi aku link ni. Beli durian merah asli Sabah. Amacam? Pos laju ditanggung beres," 

Adam terlopong. Tab ditangan Razlan dicapai. Kemudian tawanya meletus. Walaupun masalahnya sudah ketemu jalan penyelesaian, namun dia berasa lucu dan terkejut. Jual buah online? Macam ni pun ada ke? Haibat betul orang zaman sekarang. 

" Kau kena buat sujud syukur ni bro. Lepas tu kena sedia nak pujuk isteri kau dekat rumah tu. Kot dia mengidam nak cium salji dekat Korea ke pulak," Razlan berseloroh lagi, diiringi dengan ketawa kuat. 

" Haishhh. Mulut kau. Mintak simpang bro!" 




Adam tersenyum senang. Durian merah yang menjadi idaman isterinya sudah ditempah. dua hari lagi akan sampai. Sekarang tinggal untuk memujuk Iman agar tidak merajuk lagi. Langkah diatur senang naik ke atas menuju ke kamarnya. 

" Waittt!! papa stoppp!!" 

Langkah Adam terhenti di muka pintu. Haikal berdiri menyilang dada di hadapan biliknya. Si adik , Qhaliff pun ikut serta perlakuan si abang. Adam garu kepala yang tidak gatal. Apa saja anak-anak aku ni. 

" Nak apa ni, sayang? Papa penat ni," 

Haikal buat muka masam. Qhaliff sekali lagi mengikut rentak abangnya. Mulutnya dimuncungkan. 

" Papa kena denda sebab buat ibu nangis. Papa tak boleh masuk bilik jumpa ibu. Hari ni papa kena tidur luar!" Haikal bersuara. Tangannya beralih dicekakkan ke pinggang. 

Adam ketawa kecil. Hurmm.. anak-anak pun tahu Iman merajuk. Adam tunduk dan bertinggung dihadapan anak-anaknya.

" Ala sori lah. Papa nak pergi pujuk ibulah ni. Papa promise tak buat ibu nangis lagi," Adam mengangkat tangan tanda berjanji. 

Haikal mencebik dan memalingkan muka ke arah lain. 

" Papa nakal!" Qhaliff bersuara saat melihat abangnya hanya berdiam. Mata Adam terbeliak besar. Ni,tak lain Haikal lah yang mengajar. Qhaliff ditarik dalam dakapannya dan digomol pipi montel anaknya itu semahunya. Mengekek Qhaliff ketawa. 

" Mana ada papa nakal lah. Ok, papa mengaku salah. Sekarang, abang dengan adik kena tolong papa, pujuk ibu sama-sama. Boleh?" 

Tiada respon. Mereka masih mahu berpihak pada ibunya. 

" Siapa tolong papa, hari sabtu ni papa promise bawa pergi main roller blades," Adam memancing. Tangannya diangkat menunggu high five dari anak-anaknya. Haikal dan Qhaliff sama-sama berpandangan. Kemudian tersengih. 

" Ok, deal!" Haikal bersuara riang dan menepuk tangan Adam. Qhaliff juga melakukan perkara yang sama. Adam tertawa senang. Terharu juga hatinya melihat kasih sayang yang ditunjuk oleh mereka terhadap Iman.





Iman memandang wajah suaminya dengan pandangan simpati. Sungguh, luluh hatinya melihat Adam yang berulang alik ke tandas. Walaupun lucu, tapi dia jadi tidak sampai hati melihat Adam yang keletihan.

" Sakit ea bang?" soal Iman. Belakang tubuh Adam diusap perlahan. Adam mengangguk. Dia bersandar di bahu isterinya.

" Kenapa dengan abang ni sayang? Seksanya Ya Allah," ucap Adam lemah. Dua tiga hari ini tekaknya terasa kembang dan loya semacam. Tidak tahu mengapa.

Iman ketawa kecil. Rambut Adam diusap perlahan.

" Abang tu lah. Doa yang bukan-bukan. Ni Allah dah makbulkan lah ni," Iman berseloroh. Benarlah kerana mulut badan binasa. Minggu lalu sewaktu Adam memujuk rajuknya, Adam ada nyatakan kesanggupan dia menanggung sakit Iman asalkan isterinya dan anak di dalam perut ini sihat.

" Manalah abang nak tahu jadi macam ni. Seksa sayang oii,"

Iman melepaskan ketawa lagi. Sungguh, lucu sebenarnya melihat Adam yang seperti ibu mengandung. Pagi-pagi bangun dan muntah-muntah. 'Morning sick' katakan.

" Sekarang baru abang tahu macam mana susahnya sayang masa mengandungkan Qhaliff dulu kan?" ucap Iman dengan senyuman yang masih meniti di bibir. Perutnya diusap perlahan.

 "Apalah nasib papa sayang ni.. terkenan dengan anak ibu ni ye.. kesian papa," Iman berbicara dengan anak dalam perutnya. Wajah suaminya yang sudah merebahkan diri di atas katil dipandang.

" Abang rehat jelah. Nanti sahur biar sayang masak, ea?"

Adam berkerut dahi dan menggeleng.

" Jangan nak mengada. Sayang tu dah sarat. Nanti sakit kaki diri lama-lama. Tak ape. Abang larat lagi nak bangun. Sayang jangan risaulah,"

" Larat ape nya macam ni. Abang nak bau nasi pun loya, ini kan nak masak, bang?"

Adam menguntum senyum.

" Takpe, boleh,"




Haikal dan Qhaliff saling berpandangan. Kejap-kejap mereka garu kepala, kemudian menongkat dagu. Kemudian menggeleng. Pelik melihat papa mereka yang sedang 'berperang' di dapur.

" Ape papa buat tu abang?" soal Qhaliff, si kecil yang baru berusia 4 tahun itu.

Haikal jongket bahu. Dia juga pelik melihat papanya yang memakai topeng jerebu di muka. Bukan selapis, tapi empat lapis! Kepalanya digeleng lagi. Papa memang pelik.

" Papa , cepatlah. Adik ngantuk lah," Qhaliff bersuara. Tangannya mengetuk meja tanda tidak sabar. Adam yang sedang menggoreng ayam, bercekak pinggang.

" Papa nak bangun masak ni dah kira untung tau. Mengomel je. Dah nak siap dah ni," Adam bersuara nyaring. Dia sedari tadi menahan loya saat bau ayam goreng menusuk rongga hidungnya. Parah betul!

" Ok, dah siap. Abang pergi kejut ibu. Tanya ibu nak sahur sekali tak?"

Haikal mengangkat tangan menunjukkan tabik hormat.

" Baik bos!" ucap Haikal sebelum berlari naik ke atas. Qhaliff menghela nafas, menanti nasi dan lauk dicedok ke dalam pinggannya.

" Adik cuba rasa. Sedap tak?" soal Adam. Dia membawa kuah sup cendawan yang dimasaknya ke mulut Qhaliff. Anaknya itu membuka mulut.

" yerkkks!" Qhaliff menjerit dan menolak sudu kuah. Mukanya berkerut menahan rasa masin. Air susu dalam cawan di sisinya dicapai dan diteguk rakus.

Qhaliff bersandar dikerusi dan berpeluk tubuh.

" Papa failed!" ucap Qhaliff , dengan wajah masam.

Adam sudah garu kepala dan terduduk dikerusi. Dahinya ditepuk. Susah payah dia bangun pagi, menahan loya, kesudahannya anak sendiri failed kan masakannya. Nasib badan....





" abang, adik. Cepat sikit turun. Main ape lagi dekat atas tu?" Iman melaung memanggil anak-anaknya dari bawah. Jug berisi air sarsi dibawa ke atas meja yang sudah penuh dengan hidangan. Usai semuanya, dia melangkah ke depan, menyertai Adam dan Razlan.

" Lauk dah hidang tu, bang," ucap Iman . Tubunya dilabuhkan ke sisi Adam.

" Kejap lagilah sayang. Nak tunggu budak ofis yang lain. Kejap lagi sampai kot,"

Iman sekadar mengangguk dan menguntum senyum. Tidak lama kemudian Haikal dan Qhaliff turun menyertai mereka. Di tangan masing-masing membawa mainan. Apa lagi kalau bukan mahu ditayang pada anak Razlan. Iman dan Adam sekadar menggeleng melihat keletah anak-anak mereka.

" Assalamualaikum!"

" Hah, sampai dah," Adam bangkit menyambut tetamu di muka pintu.

" Hah, bos. Ni aku bawa durian merah. Asli dari kampung!" Cipol muncul dengan durian ditangan. Adam sekadar tertawa dan menggeleng.

" Sudahlah kau. Isteri aku dah muak menghadap durian ni, baru kau nak bawak ye?"

Cipol tersengih. Namun durian tersebut tetap jua dihulur kepada Iman, dan Iman menerimanya dengan baik.

" Jemput masuk semua. Terus duduk dekat meja makanlah. Dah siap hidang pun," Iman mempelawa.





" Uncle Raz, nak salam," Haikal menghampiri Razlan dengan sengihan lebar. Gatal tangan dah nak dapat duit raya. Razlan membalas sengihan dengan sengihan. Dia menggamit Haikal dan Qhaliff datang kepadanya.

"Puasa penuh ke ni?" soal Razlan menduga. Haikal dan Qhaliff mengangguk serentak.

" Eiii tipu, uncle. Adik tak puasa pun. Pukul 10 dah minta nasi," ucap Haikal. Qhaliff menolak bahu abangnya geram. Haikal menjelir lidah tanda tidak puas hati terhadap Qhaliff. Razlan tertawa senang melihat mereka.

" Ok ,ok. Adik kena janji dengan uncle, tahun depan puasa penuh, ok?"

Qhaliff tersengih dan mengangguk. Tangannya diangkat saat Razlan menghulurkan sampul duit raya kepadanya. Razlan tersenyum senang. Kepala anak kecil itu diusap perlahan.

" Thanks uncle. Haikal nak lagi dua , boleh?" soal Haikal lurus. Razlan berkerut dahi.

" Aik, satu tak cukup ke?"

" Ala, bukan Haikal punya. Haikal nak bagi dekat papa dengan ibu. Boleh tak uncle?"

Razlan kerut dahi lagi. Apa saja budak ni. Namun dia tetap menghulurkan dua sampul buat Haikal.

Haikal tersengih. Dia memeluk tubuh Razlan dan mengucup pipi lelaki itu laju.

" Thanks! Sayang uncle. Jom adik!" ucap Haikal seraya menarik tangan Qhaliff bersamanya. Razlan turut sama bangkit, mahu melihat apa yang dilakukan dua beradik itu.

" Papa...papa," Haikal menarik hujung baju Adam yang sedang berbual dengan pekerjanya diruang tamu. Adam tunduk menghadap anak-anaknya.

" Ni untuk papa ...," Haikal menghulurkan sampul duit raya kepada Adam dan Iman. Kedua pasangan itu berpandangan antara sama lain.

" Duit raya untuk papa ke ni?" soal Adam. Haikal dan Qhalif sama-sama mengangguk.

" Ni upah sebab papa jaga and sayang ibu. Lepas tu, sebab papa kemas rumah and masak untuk abang dengan adik masa ibu sakit. Walaupun tak sedappp..." ucap Haikal dalam sengihan. Qhaliff tutup mulut menahan tawa. Tetamu yang hadir turut sama ketawa mendengar bicara Haikal.

Qhaliff bergerak menghampiri Iman, yang berdiri disebelah papanya.

" Ini untuk ibu..," ucap Qhaliff dengan senyuman. Iman menguntum senyum.Kepala Qhaliff diusap perlahan.

" Kenapa ibu pun dapat jugak?" soal Iman, mahu menguji.

" Sebab ibu bagi Haikal adik baru. Lepas tu ibu basuh baju, kemas rumah, masak sedap-sedap and sebab ibu tak pernah marah abang dengan adik walaupun kiteorang ni nakal" Haikal menjawab, jujur dan lurus.

Iman tertawa kecil. Dia tunduk dan menarik kedua anaknya dalam dakapan. Airmata gugur tanpa sedar. Pipi haikal dan Qhaliff dikucup penuh kasih. Terharu dengan penghargaan yang diberikan anak-anaknya itu.

Adam turut melakukan perkara yang sama. Kepala anak-anaknya diusap perlahan.

" Terima kasih anak-anak papa yang baik. Papa janji, lepas ni papa belajar masak sedap-sedap macam ibu, ok?" Adam mengangkat tangan tanda berjanji. Haikal dan Qhaliff berpandangan, kemudian mengangguk.

" Deal!" tangan Adam ditepuk kuat. Kemudian mereka sama-sama tertawa bahagia.

Razlan bersandar di dinding. Terhibur dengan keletah si kecil berdua itu. Bangga dengan cara didikan Adam dan Iman, menjadikan Haikal dan Qhaliff anak-anak yang membesar dengan baik dan tahu menghargai. Senyuman dibibirnya terukir. Dia mendoakan kebahagiaan keluarga kecil itu. Semoga rumah tangga mereka dilimpahi barakah dan rahmat Allah sehingga ke akhirnya.

TAMAT-

No comments:

Post a Comment

♫ assalamualaikum ♫

terima kasih sudi komen.
nanti datang komen lagi ea.