Jangan diucap selamat tinggal

  





Ilham Fahmi menggelengkan kepala,Melihat sahabatnya yang semakin kerap termenung. Wajah itu penuh sendu dan suram. Tiada riak gembira melainkan kesedihan. Perlahan, Ilham Fahmi menghampiri sosok tubuh yang semakin mengering itu. 


“ Bangkitlah dari mimpi semalam Furqan. Akhi tidak sanggup melihat nta derita seperti ini” Ilham Fahmi memujuk. Bahu lelaki itu dipeluk kejab. 

Furqan sekadar diam dan menunduk. Selendang putih milik Aisyah dibawa rapat ke dada. Mengharap rindu dihatinya terubat. Sekali lagi, airmatanya gugur, dan dia teresak pilu. 

Ilham Fahmi melepaskan keluhan berat. Bahu Furqan ditepuk. 

“ Lawan Fur. Lawan kesedihanmu!Allah tidak suka pada hambaNya yang terlalu tunduk pada perasaan. Lawan Furqan!” Ilham bersuara tegas. Bahu Furqan ditepuk lagi, bertambah kuat. 

“ Jangan pedulikan ana! Ana tidak pantas untuk dimaafkan!Biarkan ana!” Furqan berteriak dalam sendu yang menggila. Selendang milik Aisyah dikucup lagi, dan terus-terusan meratap.

“ Selama mana nta mahu begini? Ingat nta masih punya tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Hidupmu bukan hanya untuk Aisyah!” 

“ Tapi dia satu-satunya semangat hidupku akhi. Nta tidak pernah merasa dicintai dan mencintai. Nta tidak akan faham. Ana perlukan Aisyah , ana rindukan dia”

“ Bukan begini caranya, dengan terus-terusan meratap. Kesihatan nta terabai, pelajaran nta tunggang langgang. Paling utama, nta ada tanggungjawab besar terhadap Idham Qhalif , Furqan” 

“ Qhalif...,” Furqan menyeru nama puteranya perlahan. Dia teresak lagi. 

“ Ana tidak tahu apa yang perlu dibuat, akhi. Bagaimana mungkin ana menjadi abi pada Qhalif tanpa ada uminya? Ana tidak kuat, akh. Ana tidak kuat!” 

“ Nta masih ada ana, kami semua. Kami akan bantu nta. Dan yang paling penting, Allah itu sentiasa ada buat hambaNya. Ingat itu, Furqan” 

Furqan terdiam. Lama dia menekur tanah. Seketika kemudian perlahan mengangkat wajah, dan mengangguk. Dia bangkit dan memeluk tubuh Ilham Fahmi, erat. 

“ Bantu ana, akh. Bantu ana” bisik Furqan penuh pengertian. Ilham Fahmi mengangguk, seraya mengucap syukur dalam hatinya. 



“ Assalamualaikum” 

Ilham Fahmi mengetuk pintu Baitul Jannah. Furqan sabar menunggu dibelakang. Kedengaran pintu dibuka dari dalam. 

“ Waalaikummusalam. Oh, akh Ilham, Akh Furqan. Ada apa ya?” Sunnah , pelajar perubatan tahun 3 menyambut mereka di muka pintu. Ilham menguntum senyum. 

“ Kami datang mahu menjenguk Qhalif. Ini, abinya mahu berjumpa” Ilham mundur sedikit, memberi ruang untuk Furqan maju. Sunnah mengucap syukur dalam hati, dan menguntum senyum. Senang melihat perwatakan akh Furqan yang sudah tidak murung lagi. 

“ Tafadhol akhi. Nanti ana bawakan Qhalif” 

Ilham Fahmi menguntum senyum dan mengangguk. Dia dan Furqan menapak ke ruang menunggu Baitul Jannah. Furqan beristigfar dan berselawat perlahan. Itu yang dipraktikkan agar dirinya tidak kembali dihurung sedih. 

“ Assalamualaikum” 

Satu suara menyapa. Furqan dan Ilham sama-sama bangkit. Salam dijawab serentak.

“ Allahuakbar anak abi...,” Furqan bersuara sebak. Idham Qhalif yang sedang menangis diambil dari Ustazah Wasimah. Sebentar sahaja anak kecil itu diam dalam dakapan abinya. 

“ Maafkan abi, Qhalif. Maafkan abi...,” Furqan tersedu. Pipi anaknya dikucup berkali-kali. Tubuh kecil itu didakap erat. Rasa rindu pada Aisyah dan anak ini , bersatu. Seketika Furqan tenggelam dalam penyesalan.
“ Sabar, Furqan” Ilham menenangkan sahabatnya. 

Furqan mengangguk perlahan. Wajah polos Qhalif ditenung lama. Dia tidak punya kesempatan untuk melihat anaknya, ekoran rasa sedih yang menghurung diri saat menerima berita kematian Aisyah. Terlalu terikut-ikut dengan perasaan sehingga anak kecil ini diabaikan. 

“ Ana ingin azankan dia , akhi. Bolehkah ana melakukan itu?” soal Furqan sayu. Dia tahu Ilham telah menggantikan tempatnya bagi mengazankan Qhalif saat anak itu lahir. 

Ilham dan Ustazah Wasimah berpandangan sesama sendiri. Kemudian dia mengangguk. Furqan tersenyum dan bangkit. Bibirnya dirapatkan ke telinga Qhalif. 

“ Allahuakhbar Allahuakbar...” Sayu suara Furqan mengalunkan azan. Kesayuan itu turut sama mengundang rasa sebak Ilham dan seluruh penghuni Baitul Jannah yang menyaksikannya. Rasa simpati pada nasib bayi kecil itu. 

“ Idham Qhalif bin Muhammad Furqan, kelak jadilah kamu anak yang soleh dan mujahid yang berjuang di jalan Allah. Jadilah kamu anak yang membahagiakan abi dan umi. Abi sayangkan Qhalif, sebagaimana besarnya kasih dan cinta abi pada umimu , sayang” 

Furqan tertunduk. Airmatanya gugur lagi. Namun dia memasang tekad, ini yang terakhir. Airmata duka ini akan berakhir. Qhalif memerlukan dia, dia tidak boleh kalah dalam perjuangan ini.


Lembaran semalam... 


“ Abang pergi tak lama, Aisyah. Janganlah khuatir. Insya Allah, malam ini juga abang pulang” 

Aisyah sekadar tersenyum dan mengangguk. Baju dan keperluan suaminya untuk menghadiri musyawarah bersama pelajar tempatan disediakan sesempurna mungkin. Beg Furqan diatur kemas isinya, bagi memudahkan dibawa. 

“ Insya Allah. Aisyah tunggu abang” Dia berdiri di muka pintu, menanti Furqan menyarung sepatu. Furqan menguntum senyum. Pipi Aisyah dielus perlahan sebelum bibirnya didaratkan di dahi Aisyah dan dikecup penuh kasih. Kemudian dia menunduk. 

“ Qhalif. Jaga umi baik-baik ya. Jangan nakal, jangan bagi umi penat” bisik Furqan perlahan. Aisyah tertawa kecil melihat gelagat suaminya yang bercakap dengan anak dalam kandungannya. 

“ Abang hati-hati ya?” ucap Aisyah sebelum tunduk dan mengucup tangan Furqan. Furqan mengangguk dan berlalu.Dia perlu berkejar mendapatkan tren, bimbang akan terlewat sampai di destinasi. 



Furqan mengucap syukur dalam hati. Musyawarah yang berada dalam pimpinannya hari ini berjalan dengan lancar. Pertikaian kecil membawa kepada persetujuan besar. Syukur alhamdulillah. Dia menguntum senyum dan berjabat tangan dengan semua ikhwah yang tampak berpuas hati dengan cara bimbingannya. 

“ Tafadhol akh. Ada jamuan ringan dari pihak universiti” 

Furqan menguntum senyum. Dia mencuit Ilham Fahmi yang masih leka berbual dengan para ikhwah. Dia menunjuk jam ditangan tanda dia sudah lewat. Ilham mengangguk, dan memberi keizinan pada Furqan untuk pulang dahulu. 

“ Akh Fattah” Furqan menghampiri sahabatnya itu. 

“Jazakallahu khairan katheera kerana izinkan ana mempengerusikan majlis hari ini. Tapi asif jiddan, ana perlu pulang sekarang. Ana sudah janji dengan zaujah ana mahu pulang awal. Insya Allah, ana akan hadiri forum nta bulan hadapan. Semoga kita bertemu lagi , ya” 

“ Barakallahu fik. Baiklah, jaga diri . Insya Allah, panjang umur kita bertemu lagi nanti” ucap Fattah seraya menarik Furqan dalam dakapannya. Furqan membalas. 

“ ana minta diri dulu. Sampaikan salam ‘Assalamualaikum’ ana buat yang lain” 

“ Insya Allah, waalaikummusalam”



Furqan mempercepatkan langkahnya ke Baitul Ummah. Entah mengapa hatinya jadi tidak senang sedari tadi. Kekhuatirannya bertambah saat Aisyah tidak menjawab panggilan. Mindanya berkecamuk dengan seribu satu kemungkinan perkara buruk telah menimpa isterinya. 

“ Allah...Allah.. Astagfirullahaladzim.Moga Aisyah baik-baik sahaja, Ya Allah” 

Pintu rumah diketuk berkali-kali. Namun masih tiada jawapan. Furqan mengurut dada. Airmatanya tidak semena gugur. Dia terlalu takut ada sesuatu yang menimpa isterinya di dalam rumah. 

“ Allahuakhbar!” Furqan menjerit kuat saat pintu masih tidak terbuka. Beg kerjanya sudah puas diselongkar, namun anak kunci tidak dijumpai. Mungkin dia terlupa untuk membawanya ekoran pergi dengan tergesa-gesa tadi. 

“ Rempuh saja pintunya, kang. Mari ana bantu.” Fadhlul , jiran berbangsa Indonesia yang berjiran dengan mereka menghampiri. Sedari tadi dia sudah berdiri di luar, tatkala mendengar kekecohan di luar rumah. Furqan mengangguk. Dengan bismillah dan kiraan 1,2,3 pintu rumah itu berjaya dirempuh. 

“ Aisyah! Aisyah!” Furqan berteriak memanggil isterinya. Namun tiada sahutan. Seluruh rumah diterokai. Langkah Furqan mati disudut dapur. Seluruh tubuhnya seakan dipanah halilintar melihat Aisyah terbaring dia atas lantai dapur. 

“ Astagfirullahadzim, Aisyah! Bertahan . Abang di sini, sayang. Aisyah, buka matamu.Tolong Fadh, panggilkan ambulans” Furqan menampar pipi Aisyah perlahan, menyedarkan isterinya. Perlahan Aisyah membuka mata. Airmatanya mengalir laju. 

“ Abang...,” Aisyah berbisik perlahan. Dahinya berkerut menahan sakit. Sebelah tangannya memegang perut, dan sebelah lagi digenggam Furqan. 

“ Bertahan Aisyah.Mengucap, ingat Allah” 

Aisyah mengangguk dan perlahan beristigfar. Namun kesakitan yang dirasai tidak mampu dibendung. Genggaman tangan Furqan semakin kejab dirasakan. 

“ anak kita sakit, abang. Aisyah minta maaf. Aisyah cuai” bisik Aisyah, berselang dengan erangan melawan kesakitan yang merajai dirinya. 



  


“ Aisyah, abang mohon. Buka matamu, Aisyah” Furqan merintih sayu. Kepala Aisyah yang terbaring kaku diusap perlahan. Tangan Aisyah tidak lepas dari genggamannya. Tangan mulus itu dibawa kepipi dan sesekali dikucup penuh kasih.
  


“ Pilihan apa yang abang ada selain meredhai semua ini? Maafkan abang,sayang. Salah abang tinggalkan sayang. Bangun Aisyah, marahlah abang. Pukul lah abang” Furqan merintih lagi. Dia tunduk dan melepaskan airmatanya. Terhingut-hingut bahunya menahan tangis. Hatinya runtun melihat Aisyah dalam keadaan begitu. Hidup tapi tidak bernyawa.
  


“ Furqan...,” bahunya disentuh. Furqan mengangkat wajah. Ilham dan doktor Zahruddin disitu. Furqan menyeka airmatanya dengan hujung jari. Dia bangkit dan bersalaman dengan doktor pakar itu, yang juga selaku murabbinya.
  


“ Mari, kita berbincang di luar”
  


Furqan mengangguk. Sempat dihadiahkan kecupan di dahi Aisyah sebelum kaki melangkah keluar bersama Ilham dan doktor Zahruddin.
  


“ Kenapa , ustaz?”
  


Bahu Furqan disentuh  perlahan. Pemuda dihadapannya itu sudah dianggap bagai anak sendiri. Musibah yang menimpa keluarga Furqan , turut memberi kesan pada dirinya.
  


“ Anak dalam kandungan isterimu perlu dilahirkan. Ustaz bimbang, bayimu tidak mampu bertahan dalam perut ibunya” 


Furqan menggeleng. Dia tersandar dikerusi. Menyelamatkan bayinya bererti perlu menjalani pembedahan , dan itu merisikokan ibu dan anak. 

“ La,ustaz! Ana tidak mahu kehilangan salah seorang daripada mereka.” Furqan memegang kepalanya. Fikirannya benar-benar terganggu. Ilham menghampiri Furqan. Bahu Furqan disentuh. 

“ Jangan begini , Furqan. Perancangan Allah itu tiada siapa yang tahu. Kita berusaha apa yang termampu. Doakan yang terbaik buat isteri dan anakmu” 

Furqan menggeleng. 

“ Risikonya tinggi , akh. Ana tahu! Ana tidak mahu kehilangan mereka. Ana buntu!” 

“ Lebih baik mengambil risiko daripada kehilangan keduanya tanpa usaha, Furqan. Nta akan jauh lebih menyesal nanti” Ilham memujuk. Ustaz Zahruddin mengangguk bersetuju. 

Furqan terdiam. Dia meraup muka beberapa kali. Kemudian dia mengangguk, akur. 

“ Insya Allah, Allah akan bantu kita”


“ Aisyah! Aisyah!” 

Furqan tersentak. Mata dibuka seluas-luasnya. Astagfirullah. Dia bermimpi. Bayangan Aisyah terpadam dari ruang matanya. Peluh yang merenik di dahi dikesat perlahan. Pandangan dijatuhkan pada Idham Qhalif yang lena di sisinya. Furqan mengucap dalam hati. 

“ Husnudzan dengan Allah , Furqan. Dia mengambil isterimu pasti dengan sebab yang baik. Allah menyayanginya. Isterimu syahid ,nak. Mempertaruhkan nyawanya bagi melahirkan Qhalif. Redhakan hatimu. Kamu masih punya Qhalif, bukti kasih kalian”

Pesanan Ustazah Wasimah terngiang-ngiang ditelinga Furqan. Dia meraup wajahnya. Qhalif dipandang lagi. Anak kecil itu saling tidak tumpah dengan wajah Aisyah, mewarisi air muka lembut uminya. Perlahan dia tunduk dan mengucup pipi Qhalif. 

“ Abi janji akan jaga amanat Allah ini dengan sebaiknya. Bantu abi ya, Qhalif. Jadi anak yang baik” bisik Furqan. Kemudian dia mengukir senyum. Sudah mampu menerima kenyataan , dia disini, bersama Qhalif tanpa Aisyah di sisi. Ana tidak bersendirian, ana ada sahabat, ana ada Qhalif. Dan yang penting, ana ada Allah dan Iman. Furqan tersenyum  lagi.

1 comment:

♫ assalamualaikum ♫

terima kasih sudi komen.
nanti datang komen lagi ea.